fbpx

Mahkamah: Permohonan Najib tangguh rayuan ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel hakim membuat keputusan itu selepas peguam utamanya Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding itu.

Terdahulu semasa prosiding sebelum keputusan diputuskan, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib memohon kepada mahkamah supaya rayuan ditangguhkan ke tarikh lain.

Ini kerana menurut beliau, rayuan akhir ini membabitkan dokumen yang banyak serta terdapat 179 jilid dan ada juga yang mencecah sehingga 1,000 muka surat, tidak termasuk keterangan saksi yang ramai.

“Biasanya saya tidak datang ke mahkamah untuk meminta penangguhan melainkan ada keperluan.

“Saya dengan rasa rendah diri dan penuh ikhlas, merayu supaya keadilan bukan saja dilaksanakan, malah dilihat sudah dilaksanakan, oleh itu, berilah peluang kepada saya dan pasukan ini untuk membuat persediaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Katanya, mahkamah sudah menolak permohonan untuk menangguhkan rayuan akhir sebanyak dua kali di mana pembelaan juga sudah dimaklumkan ketika pengurusan kes bahawa ia akan tetap diteruskan mengikut tarikh yang dijadualkan sebelum ini.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI