fbpx
Saarani (tujuh dari Kanan) bergambar bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak di Jabatan Bomba Meru hari ini. - FOTO: MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Kerajaan negeri dapat kebenaran merancang bagi melombong lantanid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Projek melombong nadir bumi lantanid di Hulu Perak telah mendapat kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Gerik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, projek melombong nadir bumi tersebut masih belum boleh dimulakan kerana perlu mematuhi beberapa lagi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, ini termasuk mendapatkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).

“Projek ini tertakluk kepada kebenaran merancang di mana pada waktu sama kita juga perlu mendapatkan dua sijil termasuk EMP. Ini yang kita belum dapat lagi.

“Selagi sijil ini tidak diperolehi, maka kita tidak akan beri kebenaran kepada syarikat berkenaan untuk memulakan operasi,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Menteri Besar Perak bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di sini hari ini.

Menurut Saarani, kerajaan negeri perlu memastikan kerja-kerja melombong lantanid itu mematuhi segala SOP yang ditetapkan seperti mana yang telah dimaklumkan kepada orang ramai.

“Walaupun kebenaran merancang telah pun dikeluarkan, namun kebenaran itu bersyarat iaitu perlu mendapatkan sijil EMP, itu yang kita kena tunggu.

“Kita mesti memenuhi janji kepada orang ramai supaya tiada yang akan merasa kita mengabaikan SOP. Oleh kerana SOP begitu ketat dan kita wajib memenuhi keseluruhannya, barulah boleh kita laksanakan operasi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR