fbpx
Gambar hiasan

Atasi isu lepasan SPM pilih terus bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

‘ENGKAU jauh meniti puncak menara gading, yang menjanjikan hidup sempurna.’

Itulah sebahagian untaian lirik lagu Tiara dendangan kumpulan Kris. Jika diamati ia membawa maksud belajar sehingga ke universiti akan menjanjikan kehidupan lebih baik.

Maka tidak hairanlah, gene­rasi terdahulu akan belajar bersungguh-sungguh ke peringkat tertinggi bagi menggapai cita masing-masing.

Namun kini, sebaliknya yang berlaku apabila ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seakan-akan tidak berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Malah kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM daripada keseluruhan lebih 560,000 calon tidak mahu menyambung.

Banyak asbab mengapa pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak menyambung pengajian an­taranya disebabkan gaji ditawarkan sangat rendah di sam­ping terpaksa menanggung be­banan hutang pendidikan.

Selain itu, penawaran peluang pekerjaan dalam ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan yang tinggi juga sedikit sebanyak menyumbang kepada permasalahan ini.

Dalam pada itu, Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, generasi kini terutama­nya belia mudah terpengaruh de­ngan persekitaran semasa sehingga menyebabkan mereka tidak mahu menyambung pe­ngajian.

Keadaan itu bertambah teruk apabila melihat ramai graduan masih menganggur dan sukar mendapat pekerjaan.

“Malah ada ketikanya masalah ini dihadapi sendiri oleh abang atau kakak mereka dan perkara itu sedikit sebanyak membuatkan mereka hilang keyakinan untuk meneruskan pengajian kerana takut mengalami nasib yang sama.

“Selain itu, generasi ini juga dihidangkan dengan berita terdapat pelajar yang tidak ­meneruskan pengajian tetapi akhirnya berjaya dalam perniagaan sehingga menjadi jutawan yang sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemikiran mereka,” katanya.

Tambahnya, oleh itu sistem nilai dan didikan daripada ibu bapa harus diperkukuhkan dalam kalangan generasi masa ini kerana mereka kini seolah-olah sedang dididik oleh zamannya sendiri.

Malah 600 tahun lalu, Ibnu Khaldun pernah berkata, jika sesuatu generasi tidak dididik oleh ibu bapanya mereka akan dididik oleh zamannya.

Sementara itu, Zaid menambah, peratusan tinggi pelajar yang tidak mahu menyambung pengajian adalah sesuatu yang membimbangkan dan mereka yang menerajui sistem pendidikan negara harus melihatnya sebagai satu perkara yang serius.

Menurutnya, secara am ia menunjukkan generasi sekarang seakan hilang keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.

“Kita tidak mahu mereka hilang keyakinan itu kerana pendidikan dapat memberikan sinar kehidupan kepada mereka.

“Negara memerlukan golongan terpelajar. Sebaliknya jika ramai yang tidak mahu meneruskan pengajian itu adalah sesuatu yang serius,” katanya.

Tambahnya, jika perkara ini tidak ditangani tidak mustahil pada masa hadapan kita akan kekurangan golongan terpelajar bagi mengisi jawatan profesional dan menerajui sistem pentadbiran negara.

 

POPULAR