fbpx

Pelabur asing bertambah sejak Ismail Sabri jadi PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri berucap pada Konvensyen Wanita BN, di Pusat Dagangan Dunia, hari ini. /FOTO SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduh syarikat asing tidak berminat lagi melabur dengan Malaysia sejak beliau mengetuai pentadbiran negara.

Tegas beliau, berdasarkan rekod Pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh sembilan bulan, negara merekodkan RM74.1 bilion sekali gus mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 dan 2018.

“FDI mencatatkan angka rekod tertinggi pada Suku ke-4 2021 dengan RM26.7 bilion dan disusuli dengan RM23.3 bilion pada Suku Pertama 2022.

“Dengan pengumuman terbaru kemasukan FDI pada Suku Kedua 2022 sebanyak RM24.1 bilion, jumlah
pelaburan FDI selama sembilan bulan sahaja adalah sebanyak RM74.1 bilion.

“Dalam tempoh sembilan bulan ini sahaja sudah mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 mahupun 2018,” ujarnya ketika berucap pada Konvensyen Wanita BN di Dewan Tun Hussien Onn, PWTC, di sini hari ini.

Justeru itu, beliau meminta agar masyarakat tidak mudah termakan dengan dakwaan bahawa syarikat asing tidak minat lagi dengan Malaysia.

“Data menjadi saksi dan saya sendiri menjadi saksi, dalam lawatan-lawatan ke luar negara, mahupun apabila syarikat
asing bertemu dengan saya di sini, ternyata jika kepimpinan negara terurus baik, Malaysia tetap menjadi pilihan utama pelabur,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, bukan sahaja FDI, malah nilai jualan borong dan runcit negara juga mencatatkan prestasi terbaik sejak 2013 dengan data terkini RM132.8 bilion untuk Jun 2022.

“Nilai jualan sektor pembuatan pula tidak kurang hebatnya, melonjak 23.4 peratus kepada RM153.5 bilion pada Jun 2022.

“Semua angka yang saya sebut ini, serta data lain yang tidak sempat saya senaraikan, telah menyumbang kepada
indikator paling besar yang diumumkan kelmarin iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), atau dalam erti
kata lain pertumbuhan ekonomi negara untuk suku kedua 2022, memecut ke angka 8.9 peratus. Angka ini yang paling tinggi di Asia Tenggara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI