KAJANG – Seorang mekanik mendedahkan kaedah ‘jekrod’ untuk mengubah spesifikasi enjin sesebuah motosikal lumba menjadi pilihan utama mat rempit bagi meningkatkan kelajuan pada tahap maksimum.
Jekrod bermaksud melakukan ubah suai atau modifikasi pada lejang enjin.
Seorang mekanik, Wan, 30, berkata, dia sanggup mengubah suai motosikal kerana minat, namun mengakui tak semua mat motor menginginkan kelajuan semata-mata.
Katanya, peminat konvoi biasanya lebih memilih untuk mengubah suai asas yang menelan belanja lebih RM3,000, manakala jekrod pula boleh mencecah RM4,000 hingga RM5,000.
“Rata-rata orang muda lebih gemar untuk melakukan ‘jekrod’ kerana ia dapat meningkatkan pecutan dan kelajuan akhir.
“Ada yang tawarkan wang dan ada yang saya tidak ambil kerana cukup sekadar saya bantu melakukan modifikasi dan ia bukan satu proses yang mudah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Wan, mengubah suai kapasiti enjin bukannya murah dan mengundang pelbagai risiko jika kualiti pembuatannya berada pada tahap minimum.
Seorang lagi mekanik, Nabil, 35, berkata, dia yang membuat modifikasi motosikal di rumahnya dan hanya melakukannya kerana minat dan bukannya sebab upah.














