fbpx

Bekas pengurus besar AKSB didakwa terima rasuah RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Mohd. Zamri (kiri) bersama Ahmad Adha selepas membayar ikat jamin sebanyak RM7,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. - FOTO: KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Seorang bekas pengurus besar syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM10,000 sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat agar dilantik sub kontraktor bagi projek AKSB, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Wan Mohd. Zamri W. Ismail,61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang sebanyak RM10,000 daripada Ng Te Wei,44, melalui satu cek bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun sebuah bank milik Wan Mohd. Zamri.

Suapan itu diberikan sebagai dorongan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai sub kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliah kerja-kerja mekanikal termasuk elektrikal dan kerja-kerja berkaitan (reka dan bina) untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej I Machang di sini.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah bank di Jalan Mahmood di sini pada 22 Januari 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara selama tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser.

Terdahulu, Mariah menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM dan balai polis berdekatan tempat tinggalnya setiap bulan.

Ahmad Adha dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya kerana Wan Mohd. Zamri sudah tidak bekerja selepas ditamatkan kontrak sebagai perunding atau konsultan Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. selepas ditahan reman atas kes tersebut pada tahun lalu.

Menurutnya, tertuduh juga mempunyai lapan orang anak yang berusia 19 hingga 37 tahun selain menyara tujuh daripada 15 orang cucunya.

“Wan Mohd. Zamri mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang serius antaranya masalah buah pinggang kronik dan jantung bengkak yang menyebabkan degupan kuat sehingga rasa berdebar.

“Tertuduh tinggal dan membesar di Kota Bharu akan terus memberi kerjasama kepada pihak mahkamah sepanjang prosiding perbicaraan. Tertuduh juga berhasrat mahu membersihkan namanya dalam kes ini,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, perlu melapor diri di pejabat SPRM dan balai polis pada setiap 1 hari bulan.

Mahkamah turut menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, tiga individu termasuk seorang bekas pengurus besar dan seorang pegawai syarikat AKSB direman pada 9 Julai lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes ra­suah membabitkan projek lebih RM27 juta.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Rozaidi Yaacob di Mahkamah Majistret di sini hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi memboleh SPRM menjalankan siasatan lanjut.

Bekas pengurus berusia 60 tahun, pegawai AKSB (39 tahun) dan seorang pengarah projek sebuah syarikat (42 tahun) itu ditahan secara berasingan di pejabat SPRM di sini pukul 4.25 petang dan 6.30 petang pada 8 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI