fbpx

Risiko penyakit wanita obes sewaktu hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU hamil kategori berlebihan berat badan dan obes juga mempunyai risiko tiga kali ganda untuk menghidap kencing manis sewaktu mengandung.

MASALAH berat badan berlebihan atau obesiti di Malaysia kini semakin membimbangkan.

Hasil kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati, sebanyak 50.1 peratus rakyat Malaysia mencatatkan berat badan berlebihan.

Masalah obesiti juga pastinya merunsingkan ibu hamil. Ini kerana, berat badan berlebihan ketika mengandung meningkatkan risiko dan komplikasi kepada ibu dan bayi.
Indeks Jisim Badan (BMI) seseorang dikira melalui berat dan ketinggian.

Julat BMI yang sihat adalah antara 18.5 hingga 25, manakala kurang daripada 18.5 diklasifikasikan sebagai kurang berat badan.

Ibu hamil yang mempunyai BMI antara 25 hingga 29.9 dikategorikan sebagai lebih berat badan, manakala BMI 30 ke atas pula dikategorikan sebagai obes. BMI ini akan diambil pada awal tempoh kehamilan iaitu pada perjumpaan pertama antenatal.

Sekiranya BMI didapati 30 atau lebih, doktor akan memberikan maklumat mengenai risiko yang bakal dihadapi ketika proses kehamilan dan langkah untuk mengurangkannya.

Untuk trimester pertama, iaitu sehingga 12 minggu kehamilan, peningkatan berat ibu adalah antara 0.5 kilogram (kg) sehingga 2 kg untuk semua kategori BMI.

Purata dan julat peningkatan berat badan yang disarankan bagi trimester kedua dan ketiga (antara 13 hingga 40 minggu kehamilan) pula adalah 0.4 kg setiap minggu bagi ibu dengan BMI normal.

Bagi ibu berlebihan berat badan pula, 0.3 kg setiap minggu dan 0.2 kg seminggu bagi ibu yang obes.

Jumlah peningkatan berat badan sepanjang kehamilan bagi ibu yang kekurangan berat badan adalah antara 12.5 sehingga 18 kg.

Ibu hamil yang mempunyai berat badan berlebihan mempunyai risiko sama seperti ibu obes. Risiko ini turut meningkat terutamanya apabila BMI menghampiri 40.

Risiko yang paling membimbangkan adalah tromboembolisme vena (VTE), iaitu apabila darah beku terbentuk dalam salur darah vena.

Kehamilan meningkatkan risiko VTE sebanyak lima kali ganda berikutan kecenderungan penggumpalan darah sewaktu hamil.

Terdapat pelbagai faktor risiko boleh menyebabkan VTE dan ibu hamil yang obes adalah antaranya.

Wanita mengandung disaran memantau peningkatan berat badan setiap minggu bagi mengelak obesiti.

Ibu hamil kategori berlebihan berat badan dan obes juga mempunyai risiko tiga kali ganda untuk menghidap kencing manis sewaktu mengandung.

Sebahagian wanita ini mempunyai kencing manis hanya ketika hamil dan memerlukan penjagaan pemakanan dan kesihatan bagi mengurangkan pelbagai risiko tidak diingini.

Namun, sejumlah besar daripada mereka kekal mempunyai kencing manis selepas mengandung dan memerlukan rawatan berpanjangan.

Ada juga yang memang mempunyai kencing manis sebelum mengandung dan pemantauan lebih rumit diperlukan sewaktu hamil.

Selain itu, masalah tekanan darah tinggi antara risiko penting yang mungkin dialami ibu hamil yang berlebihan berat badan dan obes.

Bukan itu sahaja, spektrum darah tinggi sewaktu hamil ini boleh menyebabkan komplikasi serius melibatkan buah pinggang, hati dan paru-paru, malah lebih berbahaya adalah risiko sawan (eklampsia) dan juga pendarahan dalam otak.

Bayi dalam kandungan tidak terkecuali daripada menerima impak negatif akibat BMI berlebihan ibunya.

Dalam hal ini, perkembangan awal janin boleh terganggu, seperti risiko kecacatan pada bahagian otak, saraf dan tulang belakang bayi.

Biarpun risikonya agak rendah, iaitu satu daripada 1,000 kelahiran, tetapi ia akan meningkat tiga kali ganda, terutama bagi ibu hamil yang mempunyai BMI lebih 40.

Di samping itu, ibu hamil yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes cenderung untuk mengalami keguguran pada trimester pertama serta risiko bayi mati dalam kandungan dalam trimester berikutnya.

Kelahiran pramatang juga dilihat sebagai antara risiko ibu hamil dalam kategori ini.

Kebanyakan bayi daripada ibu obes mempunyai berat lahir melebihi 4 kg.

Apabila saiz bayi besar, ibu tersebut berdepan risiko sangkutan bahu (shoulder dystocia) sewaktu kelahiran normal. Justeru, kelahiran secara pembedahan mungkin perlu dipertimbangkan.

Ada juga sebahagian bayi yang mengalami kerencatan pertumbuhan (intra-uterine growth restriction, IUGR) dan berat lahir yang rendah.

Semua risiko kepada bayi ini juga berkait rapat dengan masalah kesihatan ibu seperti kencing manis dan darah tinggi sewaktu hamil.

Semua risiko yang dinyatakan di atas bukanlah untuk menakutkan-nakutkan ibu hamil.

Setiap ibu hamil digalakkan untuk berbincang dengan kakitangan kesihatan dan juga pasangan untuk sama-sama berusaha mencapai fasa kehamilan sihat.

Mereka turut disarankan memantau peningkatan berat badan setiap minggu, sebaik-baiknya menggunakan penimbang yang sama.

Daripada catatan timbangan ini, ibu-ibu boleh merujuk kepada kakitangan kesihatan untuk mengetahui skala peningkatan berat badan.

Dalam pada itu, ramai orang bertanya, adakah ibu hamil perlu makan untuk dua orang? Ini adalah mitos, kononnya ibu mengandung perlu makan lebih banyak daripada biasa supaya bayi mendapat nutrisi dan seterusnya membesar sihat dalam kandungan.

Sebetulnya, ibu hamil perlu ambil makanan berkhasiat dan seimbang untuk kesihatan diri dan bayi, bukan makan mengikut nafsu.

Pengambilan makanan secara sihat dan seimbang banyak membantu mengatasi masalah peningkatan berat badan secara berlebihan sewaktu hamil.

Makanan seimbang yang ada zat-zat tertentu seperti karbohidrat, protein, lemak yang baik dan serat dalam kuantiti dan kekerapan bersesuaian perlu diambil sekerap mungkin.

Pengambilan hidangan mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari dapat menggantikan makanan yang kaya dengan lemak dan berkalori tinggi.

Gaya hidup sihat dan aktif ketika hamil sangat bermanfaat kepada ibu dan bayi.

Ibu hamil boleh melakukan senaman berimpak rendah dan sederhana yang mempunyai risiko kecederaan rendah.

Tempoh senaman mestilah pendek dan ibu hamil kekal terhidrasi sepanjang senaman aktif ini.

Bagi ibu hamil yang tidak biasa bersenam sebelum kehamilan, ia boleh dimulakan secara perlahan-lahan dan dalam tempoh singkat. Lakukan senaman secara konsisten.

Masa serta kekerapan boleh ditingkatkan mengikut kemampuan stamina masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI