fbpx

K2

Kenal pasti sebarang keganjilan pada mulut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANSER mulut sering dikesan pada peringkat akhir, sekali gus menyukarkan proses rawatan. – Gambar hiasan

MUTAKHIR ini, kanser mulut merupakan salah satu penyakit yang boleh membawa maut.

Ini kerana, perkembangannya yang senyap sehingga menyebabkan ia sering dikesan apabila berada di peringkat bahaya.

Justeru, kanser mulut menjadi salah satu penyakit yang membimbangkan kesihatan orang awam di negara ini.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa kadar kelangsungan hidup bagi kanser mulut dalam kalangan rakyat Malaysia adalah hampir 50 peratus selepas menjalani rawatan.

Antara rawatan yang boleh dilakukan adalah pembedahan dan radioterapi dengan harga jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara maju.

Menurut Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia, pada tahun 2020, seramai 377,713 individu telah didiagnosis dengan kanser mulut di seluruh dunia, dan 177,757 orang maut.

Sementara itu, Pakar Perunding Otorinolaringologi, Otologi, Neurotologi, Pembedahan Kepala dan Leher serta Pangkal Tengkorak di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Shailendra Sivalingam memberi penekanan terhadap kepentingan melakukan diagnosis dan rawatan awal.

Menurutnya, kanser mulut sering menjejaskan gusi, pipi, lidah dan tonsil.

Ujarnya, pada peringkat awal, kanser ini muncul sebagai tompokan putih atau ulser.

“Bergantung kepada lokasi kanser ini, ia boleh merebak dengan cepat di sekitar kerongkong atau nodus limfa.

“Ini kerana, rongga mulut mempunyai sistem saliran limfa yang kompleks, sekali gus merangsang penyebaran sel tumor dengan lebih cepat.

“Penyakit ini berlaku disebabkan faktor genetik, persekitaran dan gaya hidup serta mempunyai kaitan rapat dengan Human Papilloma Virus (HPV) dan bukan HPV.

“HPV terutamanya jenis berisiko tinggi seperti HPV-16 sangat berkait dengan kanser orofarinks.

“Ia menunjukkan hubung kait yang kuat terutamanya melibatkan kanser berkaitan tonsil,” katanya.

DR. SHAILENDRA menasihati orang ramai supaya segera membuat pemeriksaan sekiranya rasa tidak selesa dalam mulut selama lebih
seminggu.

Antara rutin yang boleh meningkatkan risiko kanser mulut termasuklah jangkitan HPV, merokok secara berlebihan, tabiat alkohol berpanjangan dan tidak menjaga kebersihan gigi.

Kemudian, rutin ini akan menyebabkan seseorang mengalami kesan karsinogen dan kerengsaan kronik dalam rongga mulut sehingga menyebabkan sel gen penindas tumor yang rosak berubah menjadi prakanser serta kanser.

Dalam pada itu, bagi populasi di Asia Selatan, mengunyah sirih boleh menyumbang kepada kanser mulut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sireh atau pinang diklasifikasikan sebagai bahan karsinogenik yang boleh meningkatkan risiko kanser.

“Sifat sirih yang berasid kuat mengandungi arekolin dan kapur. Apabila disimpan dalam rongga mulut untuk tempoh lama boleh menyebabkan kerengsaan berterusan pada mukosa rongga mulut, sekali gus menyumbang kepada kanser,” jelasnya.

Justeru, Dr. Shailendra menasihati orang ramai supaya mengenal pasti sebarang keganjilan pada mulut bagi membantu pengesanan awal.

Terangnya, gejala seperti ulser berpanjangan atau pendarahan berlebihan dalam rongga mulut, pipi atau tekak sering diabaikan.

“Apabila gejala semakin melarat, misalnya perubahan suara, kesukaran makan atau penurunan berat badan yang ketara, barulah intervensi berlaku.

“Pada masa itu, kanser mungkin sudah berada pada tahap tiga iaitu situasi lebih sukar untuk dirawat.

“Jika anda berasa tidak selesa di bahagian dalam mulut lebih daripada seminggu, jangan tunggu untuk membuat pemeriksaan doktor.

“Pengesanan awal boleh meningkatkan peluang untuk rawatan dan pemulihan kanser ini,” katanya.

Sementara itu, diagnosis kanser mulut melibatkan proses terperinci daripada biopsi bagi menentukan tahap kanser. Ini menggambarkan betapa pentingnya pengesanan awal.

Rawatan mungkin terdiri daripada pembedahan pada peringkat awal kepada gabungan pembedahan, kemoterapi dan radiasi dalam kes teruk.

Walaupun dengan kemajuan dalam terapi sasaran dan imunoterapi, namun rawatan ini boleh menjadi sesuatu yang sukar. Rawatan yang dijalankan selalunya melibatkan kaedah pembedahan yang boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit.

Ini termasuk kemungkinan kecacatan dan kesukaran bercakap dan menelan disebabkan tumor tersebut atau pembuangan kanser pada lidah, pipi, bibir atau kawasan tonsil.

Selain rawatan perubatan, Dr. Shailendra turut menjelaskan bahawa perubahan gaya hidup dan langkah pencegahan memainkan peranan penting dalam menangani kanser mulut.

“Jauhkan diri daripada tembakau dan sirih. Jaga kebersihan mulut dan membuat pemeriksaan pergigian secara berkala boleh mengurangkan risiko kanser mulut,” jelasnya.

Dalam pada itu, kajian menunjukkan vaksin HPV mampu mencegah kanser mulut dengan syarat ia diberikan awal.

Vaksin HPV adalah perlindungan yang berkesan terhadap kanser mulut, kepala, leher dan serviks.

Bagaimanapun, ia tidak berfungsi jika anda sudah menghidap kanser atau sudah dijangkiti. Oleh itu, lebih awal vaksin diberikan, lebih baik.

Dr. Shailendra sekali lagi menekankan kepentingan pengesanan dan rawatan awal kanser mulut.

“Jika rasa kurang selesa di dalam mulut tidak sembuh selepas seminggu, segeralah melakukan pemeriksaan.

“Diagnosis awal boleh memberi perbezaan ketara pada hasil rawatan dan kualiti hidup pesakit,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI