fbpx

Henti beri tekanan kepada Tze Yong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ng Tze Yong
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

PENAMPILAN sulung pemain badminton perseorangan lelaki muda negara, Ng Tze Yong pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 boleh dianggap sebagai satu kejayaan selepas membantu pasukan Malaysia merangkul pingat emas acara berpasukan campuran serta pingat perak dalam saingan individu.

Justeru, peminat-peminat sukan tanah air, khususnya badminton boleh menarik nafas lega memandangkan Malaysia kini memiliki dua perseorangan lelaki yang kompetitif menerusi Tze Yong serta pemain No.5 dunia, Lee Zii Jia.

Siapa sangka Tze Yong yang disenaraikan pada saat akhir bagi menggantikan Zii Jia ke temasya empat tahun sekali itu mampu menumbangkan bekas pemain No.1 dunia dari India, K. Srikanth sebanyak dua kali dalam acara berpasukan campuran serta individu.

Selain itu, dia turut memberikan tentangan sengit serta memberikan banyak masalah kepada seorang lagi jaguh India yang juga naib juara Kejohanan Seluruh England (All England), Lakshya Sen pada perlawanan akhir meskipun tewas 21-19, 9-21, 16-21.

Prestasi membanggakan yang ditampilkan pemain berusia 22 tahun itu seolah-olah memberikan petanda bahawa Malaysia kini memiliki dua perseorangan lelaki terbaik yang boleh diletakkan harapan dalam mana-mana kejohanan.

Bagaimanapun, penulis berpendapat, seluruh rakyat Malaysia harus memberikan ruang dan masa buat Tze Yong untuk berkembang selain tidak ­meletakkan tekanan terlalu tinggi terhadap anak muda kelahiran Johor itu.

Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei pernah memberi peringatan supaya tidak memberikan tekanan kepada Tze Yong selain menasihati pemain itu agar sentiasa fokus dan jangan mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diraih.

“Saya hanya mengingatkan dia supaya tidak lena dibuai dengan pujian dan bangga diri sehingga hilang fokus. Saya fikir dia sudah mula menemui rentak permai­nan sebenar dan jurulatih kebangsaan (Hendrawan) juga sentiasa berikan sokongan kepadanya.

“Hendrawan ada cakap beliau mahu pastikan Tze Yong dapat pergi ke Sukan Olimpik 2024 nanti. Memandangkan Zii Jia sudah mengesahkan dia akan pergi, jadi adalah lebih baik jika kita ada dua wakil perseorangan lelaki di sana,” katanya.

Justeru, ada benarnya cakap Chong Wei memandangkan masih ada lebih kurang dua tahun lagi sebelum temasya Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirainya, jadi tempoh tersebut boleh dijadikan sebagai masa terbaik Tze Yong mengasah teknik permainannya.

Apa yang pasti, peluang untuk meraih pingat Olimpik pertama lebih cerah jika kita memiliki dua wakil di Paris nanti, oleh itu penulis merasakan inilah masanya Tze Yong membuktikan dia mampu menggalas tanggungjawab besar tersebut.

Sementara itu, para peminat juga digesa untuk sentiasa memberikan sokongan tidak berbe­lah bahagi kepada Tze Yong, ter­utamanya ketika dia berdepan turun naik dalam arena badminton dunia nanti.

Pada masa sama, Tze Yong juga mengakui, dia kini berada dalam prestasi terbaik selain tidak menjangka dia mampu membawa pulang kilauan pingat walaupun temasya kali ini merupakan penampilan sulungnya dalam Sukan Komanwel.

“Secara jujur, saya tidak sangka dapat memenangi pingat pada Sukan Komanwel di Birmingham kerana ini adalah penampilan pertama. Buat masa sekarang, memang saya berada pada ­prestasi terbaik dan mahu kekalkan momentum menjelang kejohanan dunia.

“Saya harap semua peminat sukan tanah air akan terus berikan sokongan dalam setiap kejohanan disertai. Dalam sukan, pasti ada turun naik, jadi soko­ngan anda sangat penting untuk karier saya,” ujarnya.

Kesimpulannya, jika Tze Yong mampu mengekalkan momentum seperti ini pada kejohanan akan datang. Tidak mustahil dia akan mengikut jejak langkah Zii Jia untuk berada dalam kelompok 10 pemain teratas dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI