Apakah kaedah dan bahan-bahan perubatan yang dibenarkan syarak?
Jawapan:
Tiada istilah ‘perubatan Islam’ yang hanya merujuk kepada jampi atau bahan-bahan disebutkan Nabi s.a.w.
Berubat memang disuruh oleh Islam. Apa sahaja ubat mengikut kaedah perubatan yang betul, maka ia adalah perubatan diizinkan syarak.
Ini termasuk perubatan dan ubat yang disebut Nabi s.a.w, atau selainnya, mengikut disiplin ilmu perubatan.
Maka, perubatan moden, Cina, India atau Melayu berasaskan kaedah benar, bukan haram, khurafat atau syirik, ia adalah perubatan diizinkan oleh Islam.
Bahkan jika diyakini boleh menyembuhkan seseorang yang sakit, maka ia disuruh oleh Islam tanpa mengira asal usul perubatan tersebut.
Nabi s.a.w dalam hadis menyebut perubatan dan ubat secara umum, tanpa mengehadkannya. Maka, setiap orang hendaklah berusaha mencari ubat yang paling berkesan. Dalam hadis yang sahih Nabi s.a.w bersabda:-
“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua,” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Juga sabda baginda: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah,” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafi`i), kebanyakan salaf dan keseluruhan khalaf.
Satu perkara yang perlu diperingatkan, bukan semua hadis tentang perubatan itu sahih, bahkan banyak yang palsu.
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (w. 751H) yang menulis kitab al-Tibb al-Nabawi (perubatan kenabian) sendiri mengingatkan dalam kitabnya al-Manar al-Munif, salah satu ciri hadis palsu itu lebih berunsur ungkapan pengamal perubatan yang dibuktikan panca indera atau fakta sahih tentang kepalsuannya.
Dalam erti kata lain, di zaman sekarang, jika fakta sains berjaya membuktikan kesalahan fakta hadis tersebut, maka itu satu ciri hadis palsu.
Satu contoh jelas, hadis: “Terung itu mengikut hajat ia dimakan” dan hadis “Terung itu ubat untuk segala penyakit.” Ini adalah riwayat palsu.
Maka, banyak dakwaan dikatakan bersumberkan hadis, seperti makan kismis menguatkan ingatan tiada dalil sahih daripada Nabi s.a.w.
Ibn al-Qayyim sendiri menyebut dalam al-Tibb al-Nabawi, ada dua hadis disebut tentang kelebihan kismis, tetapi kedua-duanya tidak sahih. Cuma ada riwayat daripada al-Zuhri menyatakan kismis bermanfaat untuk ingatan. (lihat: Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma’ad, 4/318).
Apa yang disebut oleh al-Quran seperti khasiat madu dan minyak zaitun tiada sebarang syak tentang kewahyuannya. Ini kerana, madu dan minyak zaitun jelas diakui al-Quran dan al-Sunnah sebagai baik untuk kesihatan. Cuma bagaimana proses perubatan itu hendak dikendalikan atau kadar dan caranya perlukan kajian ilmiah.
Adapun hadis-hadis yang sahih menyebut tentang ubat-ubat tertentu seperti hadis habbatus sauda’ (jintan hitam), berbekam, air kencing unta, susu unta dan seumpamanya, para ulama berbeza pendapat tentangnya. Ada berpendapat ia berasaskan wahyu. Ada pula mengatakan, hadis-hadis ini Nabi s.a.w sebut berasaskan pengalaman, persekitaran dan zaman baginda hidup, bukanlah wahyu daripada Allah.
Kesimpulannya, setiap ubat yang bermanfaat diiktiraf oleh Islam, tidak terbatas kepada apa yang disebutkan dalam hadis sahaja.














