fbpx

MITI, kerajaan Pahang capai persetujuan jaya agenda pembangunan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmin Ali

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri mencapai persetujuan ke atas lapan kertas cadangan yang dibentangkan dalam usaha mengukuhkan kerjasama dan menjayakan agenda pembangunan negara khususnya di negeri ini.

Antara kertas cadangan dipersetujui itu merangkumi Pembinaan Kuantan Aerocity di Gebeng Kuantan, pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus dan kelonggaran kepada pelabur industri kertas yang komited.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan tersebut selari dengan Dasar Pelaburan Baharu Nasional yang dianggarkan dapat meningkatkan prestasi perdagangan dan pelaburan di negara ini.

Katanya, MITI peka terhadap kedudukan strategik negeri Pahang sebagai gerbang ekonomi di Pantai Timur dan sedia mengukuhkan kerjasama ke arah merealisasikan Pelan Induk Perindustrian Negeri Pahang 2021-2025.

“Terdapat tiga fokus utama kementerian dalam menerajui usaha ini iaitu memastikan momentum pertumbuhan ekonomi, prestasi pelaburan dan perdagangan antarabangsa negara kekal pada landasan meliputi perdagangan dan pembangunan yang mampan, kelangsungan rantaian bekalan serta pembangunan tenaga mahir termasuk melalui peningkatan penggunaan teknologi dan inovasi.

“Usaha-usaha ke arah pencapaian objektif ketiga-tiga fokus tersebut merangkumi pengenalan dasar baharu seperti Dasar Pelaburan Baharu Nasional yang berlandaskan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2021-2025 dan Pelan Induk Perindustrian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar elepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini, hari ini.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus pula, adalah bagi mengimbangi pertumbuhan pembangunan ekonomi di seluruh negeri Pahang.

Beliau memberitahu pengwujudan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus menumpukan kepada lima kluster iaitu pelancongan, pertanian, mineral, perkayuan dan perkhidmatan.

“MITI akan terus mengukuhkan kerjasama melalui platform JBI dalam merancang program-program galakan eksport produk industri dan perkhidmatan tempatan, memperhalusi cadangan baharu dalam mempertingkatkan pelaburan serta memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan hingga ke peringkat Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembinaan Kuantan Aerocity, beliau berkata ia adalah selari dengan draf yang telah diluluskan, Malaysia Aerospace Industry Blueprint dalam menjadikan negara ini sebagai hab aeroangkasa di rantau ini.

Ujarnya, Penyelaras Pembangunan Aero Angkasa, National Aerospace Industry Corporation Malaysia (Naico Malaysia) akan berbincang bersama kerajaan negeri bagi meneruskan pembangunan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI