fbpx
Antara pelajar yang cedera dalam insiden tangki air SMK Melor, Kota Bharu pecah hari ini. - FOTO: MEDIA SOSIAL

Kepala pelajar dijahit, cedera tengkuk dalam insiden tangki air SMK Melor pecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Dua daripada lima pelajar perempuan masing-masing cedera tengkuk dan menerima dua jahitan pada kepala selepas terkena serpihan atap laluan pejalan kaki semasa dalam perjalanan untuk rehat di kantin apabila tangki air utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor di sini pecah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.05 pagi itu, empat pelajar itu dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian manakala seorang lagi dibawa ke Klinik Kesihatan Mahligai di sini untuk rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa sedang berjalan kaki menuju ke kantin pada waktu rehat.

Menurutnya, siasatan mendapati, rumah enjin tangki utama sekolah tersebut dipercayai mengalami kerosakan sebelum ia pecah dan air melimpah.

“Ketika itu, pelajar tingkatan satu, dua dan tiga sedang rehat dan mereka sedang berjalan menuju ke kantin sekolah. Air tangki itu melimpah ke kawasan papan kenyataan, musalla dan longkang di bahagian blok pentadbiran sekolah sehingga menyebabkan semua lokasi tersebut rosak.

“Kejadian itu disedari guru Penolong Kanan Pentadbiran sekolah, Adnan Che Abdullah yang terdengar letupan kuat dari belakang bangunan pejabatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, guru terbabit kemudian bergegas keluar dan mendapati sebuah tangki air utama telah pecah.

Katanya, dua daripada lima pelajar yang terlibat dalam insiden itu masing-masing mengalami sakit tengkuk dan menerima dua jahitan pada kepala masih dirawat di HUSM.

Tambahnya, tiga lagi pelajar yang cedera ringan sudah dibenarkan pulang.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, beberapa orang pelajar SMK Melor di sini cedera dalam kejadian tangki air pecah hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tangki air yang pecah itu menimpa laluan pejalan kaki di sekolah tersebut.

“Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan tangki air di sekolah tersebut dalam kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR