fbpx

Dua premis curi bekalan air diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi penguatkuasaan dijalankan di sebuah premis bengkel motosikal yang di Nilai, Seremban semalam.

SEREMBAN –  Sebuah bengkel motosikal di Nilai dekat sini adalah antara dua premis yang diserbu pihak berkuasa selepas disyaki mencuri bekalan air bersih.

Sebuah premis lagi ialah rumah kedai yang sedang diubah suai di Rembau.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Norzita Ismail berkata, operasi penguatkuasaan itu dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Kecurian Air Sains bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), semalam.

Beliau berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira pukul 11 pagi ke atas sebuah premis rumah kedai yang sedang diubah suai di Rembau.

“Siasatan tapak mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan pengubahsuaian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, serbuan kedua dijalankan ke atas sebuah bengkel motosikal di Nilai.

Norzita memberitahu, penghuni premis didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 15mm tanpa melalui sebarang meter.

“Bekalan air dipercayai digunakan untuk kegunaan penghuni premis tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, pegawai penguatkuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di kedua-dua lokasi yang mendapati bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

Jelasnya, pihak SPAN telah menyita semua pemasangan paip dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti.

Norzita menarik perhatian, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Beliau berkata, sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI