fbpx

Loji janakuasa nuklear Ukraine rosak teruk akibat bedilan artileri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loji janakuasa Zaporizhzhia di Ukraine. - AFP

KIEV – Sebahagian daripada loji janakuasa Zaporizhzhia di Ukraine mengalami ‘kerosakan serius’ akibat bedilan artileri yang mengakibatkan sebuah reaktornya terpaksa ditutup, kata pengendali loji berkenaan, Energoatom kelmarin

Serangan ke atas Zaporizhzhia di selatan Ukraine pada Jumaat lalu itu mengakibatkan kerosakan serius ke atas sebuah stesen menyimpan gas nitrogen dan oksigen serta ‘sebuah bangunan auksiliari’, kata Energoatom dalam satu kenyataan menerusi aplikasi mesej Telegram.

Kiev dan Moscow  menyalahkan satu sama lain berhubung serangan itu.

“Bedilan  yang tidak dapat dipastikan sama ada berasal daripada tentera Russia ataupun Ukraine itu memaksa sebuah reaktor dimatikan, manakala terdapat bahaya kebocoran hidrogen dan bahan radioaktif, malah risiko kebakaran juga tinggi.

“Bedilan artileri itu mengundang ‘risiko serius’  terhadap keselamatan operasi loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia,” kata Energoatom.

Askar Russia menawan loji Zaporizhzhia sejak awal pencerobohan Russia dan Kiev menuduh tentera Kremlin menyimpan senjata berat di premis itu.

Moscow pula menuduh tentera Ukraine sengaja membedil loji janakuasa nuklear tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kesatuan Eropah (EU)  mengecam Russia berhubung serangan kelmarin.

“EU mengutuk aktiviti tentera Russia di sekitar loji janakuasa Zaporizhzhia. Ini adalah pencabulan tidak bertanggungjawab terhadap undang-undang keselamatan nuklear dan satu lagi contoh sikap  Russia yang tidak mempedulikan norma antarabangsa,” kata diplomat kanan blok itu, Josep Borrell dalam satu kenyataan di laman Twitter.

Beliau bertegas mahu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) selaku badan kawal selia nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diberikan akses kepada loji nuklear tersebut.

IAEA turut menyuarakan kebimbangannya dalam satu kenyataan kelmarin.

“Situasi ini mencetuskan risiko bencana nuklear yang mengancam kesihatan orang awam dan alam sekitar bukan sahaja di Ukraine tetapi  kawasan lebih jauh,” kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi.

IAEA selama berminggu-minggu cuba menghantar pasukannya untuk memeriksa loji nuklear Zaporizhzhia tetapi Ukraine menolak usaha tersebut.

Menurut IAEA, petugas pengendali tenaga nuklear Russia, Rosatom telah meninggalkan loji nuklear Zaporizhzhia  sejurus sebelum serangan bermula  tetapi kakitangan Ukraine masih berada di lokasi tersebut, manakala loji itu juga masih menghasilkan tenaga elektrik. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI