fbpx

Komen memalukan, penerbit Gadis Jolobu The Movie saman YouTuber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARALEANA (kanan) bakal ambil tindakan undang-undang terhadap seorang YouTuber yang meninggalkan komen memalukan terhadap filem Gadis Jolobu The Movie.

PETALING JAYA – Penerbit filem Gadis Jolobu The Movie, Saraleana Nattaya Azmi bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang YouTuber apabila memuat naik komen mengundang kecaman dengan menyifatkan filem tersebut sebagai karya ‘infinity shit’ (sangat teruk).

Saraleana ketika dihubungi Kosmo! Online mengakui terguris dengan komen YouTuber terbabit dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai percubaan menjatuhkan imej filem arahan CL Hor itu.

“YouTuber itu siapa? Apa kelayakan dan ilmu yang dia ada untuk mengkritik sesebuah filem? Bahasa yang dia gunakan bukan menggambarkan dirinya seorang yang pandai seperti pengkritik filem.

“Jadi saya dan CL Hor sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman. Tunggu surat saman akan sampai tidak lama lagi,” katanya yang juga penerbit Eksekutif Zebra Studio.

Sebagai penerbit, Saraleana bagaimanapun terbuka dengan sebarang bentuk kritikan terhadap filem bergenre komedi romantik itu, namun biarlah menggunakan bahasa sesuai mengikut etika supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi pengkritik filem lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan TikTok.

“Namun, gunakanlah bahawa yang sesuai mengikut etika supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak terutamanya penerbit yang telah mengeluarkan bajet berjuta-juta ringgit untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Gadis Jolobu The Movie adalah filem pertama yang saya terbitkan. Saya ada lagi 11 buah filem. Sebagai penerbit wanita Melayu yang diberi modal dan kepercayaan oleh syarikat bukan Melayu untuk menghasilkan sebuah karya berbudaya, saya rasa malu dengan bahasa kasar yang digunakan YouTuber tersebut,” katanya.

Saraleana mengakui sebenarnya dia tidak kisah atau terasa hati dengan komen-komen negatif yang dilemparkan netizen dalam media sosial, sebab dia sendiri tidak mempunyai kuasa mengawal perkara itu.

Namun seboleh-bolehnya, Saraleana meminta orang ramai menggunakan bahasa yang sepatutnya selain tidak berniat untuk menjatuhkan seseorang sekali gus menyebar kebencian masyarakat terhadap sesebuah karya.

“Saya mungkin seorang penerbit baharu. Tapi saya bersyukur kerana masih mempunyai sokongan kuat dibelakang saya. Cuma apa yang membuatkan saya risau adalah terhadap penerbit baharu yang lain.

“Mungkin mereka akan takut untuk menerbitkan filem disebabkan kata-kata daripada seseorang yang mengaku dirinya pengkritik filem. Semangat penerbit filem baharu akan luntur apabila menjadi mangsa kritikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saraleana menegaskan tetap akan mengambil tindakan undang-undang terhadap YouTuber tersebut kerana mahu mempertahankan hak selain memberi pengajaran supaya tidak sewenang-wenangnya cuba menjatuhkan semangat pengkarya lain.

“Saya tetap akan teruskan tindakan saman terhadapnya bukan untuk kepentingan saya seorang, tetapi untuk rakan-rakan penerbit filem lain supaya tidak diperlekehkan.

“Sebagai orang Malaysia, sepatutnya masyarakat memberi sokongan terhadap kerya anak tempatan. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila filem daripada negara luar lebih dipandang tinggi dan dipuji-puji,” katanya.

Sebagai penerbit wanita, Saraleana turut menepis dakwaan sesetengah pihak apabila filem Gadis Jolobu The Movie mempunyai unsur menjatuhkan martabat wanita dan juga adat Minang seperti yang dikatakan oleh netizen yang menonton filem tersebut.

Kata Saraleana, mungkin ada beberapa bahagian dalam filem tersebut kurang disenangi penonton, sebagai contoh watak Jijah lakonan Ahirine yang tampil memakai seluar ketat ketika pulang ke kampung sehingga menjadi tumpuan orang lelaki.

“Babak itu sebenarnya mempunyai mesej yang hendak disampaikan. Itulah realiti sebenar bila seseorang wanita memakai seluar ketat, dia akan jadi tumpuan orang lelaki.

“Tapi Kalau penonton fahamkan betul-betul, pengajarannya untuk wanita yang masuk ke kampung, jagalah etika pemakaian supaya tidak menjadi tarikan kaum lelaki.

“Saya juga cuba tonjolkan sisi seorang wanita yang mampu mempertahankan diri apabila berada dalam bahaya. Sebenarnya banyak mesej-mesej positif yang boleh diambil jika menontonnya dengan hati terbuka,” katanya.

Filem Gadis Jolobu The Movie yang mula ditayangkan pada 4 Ogos lalu membariskan barisan pelakon hebat antaranya Datuk Hattan, Joey Daud, Khir Rahman dan pendatang baharu, Ahirine Ahirudin. – KOSMO! ONLINE
-HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI