fbpx
Keadaan air sungai yang bertukar warna didakwa berikutan aktiviti pembersihan hutan di kaki Gunung Jerai berdekatan kawasan Rekreasi Titi Hayun, Yan baru-baru ini.

Air sungai bertukar merah, penduduk risau berlaku kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

YAN – Penduduk di lebih 10 kampung dan kawasan perumahan di sini bimbang tragedi kepala air di Gunung Jerai tahun lalu berulang berikutan terdapat aktiviti pembersihan hutan di kaki gunung dekat kawasan rekreasi air terjun Titi Hayun, baru-baru ini.

Kawasan dibimbangi terjejas ialah Kampung Acheh, Kampung Setol, Kampung Rendang Pasir, Kampung Tohor, Kampung Mang­gis, Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Lubok Boi, Pantai Murni, Kampung Titi Bakong, Perumahan Awam Titi Bakong, Pekan Yan dan Kampung Permatang Keramat.

Tinjauan mendapati kawasan tanah yang dibersihkan itu dipercayai milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) berdasarkan papan tanda yang terdapat di situ.

Bagaimanapun tiada sebarang notis mengenai jenis projek yang bakal dijalankan di situ.

PENDUDUK mendakwa Sungai Titi Hayun semakin cetek.

Penduduk Kampung Setol, Sabariah Saad, 53, berkata, akti­viti pembersihan hutan itu mula ­disedari kira-kira dua minggu lalu selepas melihat air sungai bertukar warna merah ketika hujan lebat di kawasan tersebut.

Berita berkaitan: Amukan kepala air Gunung Jerai bawa kemusnahan teruk

Menurutnya, dia dan suami­nya hairan selepas melihat air sungai yang jernih menjadi merah kemudian meninjau ke kawasan Titi Hayun sebelum mendapati terdapat aktiviti pembersihan hutan di kawasan tersebut.

“Terkejut melihat kawasan hutan berdekatan jalan masuk ke Titi Hayun itu sudah dibersihkan.

“Satu aduan telah dibuat namun tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya.

Berita terkini: Pusat peranginan bertukar ‘muda’

Seorang penduduk Yan, Marshirul Umar, 40, berkata, difahamkan kawasan tersebut bakal dijadikan kawasan pertanian namun belum dapat dipastikan.

Katanya, penduduk kesal projek tersebut dilakukan di kawasan berisiko bencana alam selain keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Kawasan bukit baru ditarah akan runtuh ketika hujan lebat dan masuk ke dalam sungai.

“Sungai Titi Hayun ini semakin cetek selepas tragedi kepala air tahun lalu dan apabila ditambah lagi dengan sisa runtuhan tanah akan menyebabkan sungai lagi cetek seterusnya mengundang banjir kilat,” ujarnya.

Justeru, penduduk berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah tersebut demi keselamatan masyarakat setempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN