fbpx

Pusat peranginan bertukar ‘muda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STRUKTUR sungai di kawasan rekreasi Titi Hayun, Yan yang berubah struktur asal akibat kejadian aliran puing baru-baru ini. – SHAHIR NOORDIN

YAN – Empat pusat peranginan di daerah ini dan Kuala Muda kelihatan ‘muda’ selepas dilanda aliran puing dari Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

Empat kawasan tersebut ialah Air Terjun Titi Hayun, Air Terjun Tupah, Air Terjun Batu Hampar dan Air Terjun Seri Perigi.

Tinjauan mendapati kawasan sungai menjadi lebih lebar kira-kira dua kali ganda berbanding keluasan asal selain batu-batu digantikan batuan baharu.

Paling jelas perubahan di Air Terjun Titi Hayun apabila kawasan itu yang dahulunya ba­nyak batuan besar dengan aliran air tenang kini digantikan dengan batu-batu kecil dengan aliran lebih deras.

Selain itu, beberapa lokasi sungai empat kawasan peranginan itu yang ditumbuhi semak samun ‘dibersihkan’ dalam kejadian tersebut.

Batu-batu yang dahulunya berlumut juga bersih sekali gus mencantikkan pemandangan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Muhammad Firdaus Mohamad berkata, perubahan paling ketara ialah semua kawasan peranginan itu kini kelihatan bersih dan seolah-olah baru dibangunkan untuk kemudahan pengunjung.

“Kejadian aliran puing ini sebenarnya membawa hikmah untuk orang yang tahu menghargai alam dan mengambil berat tentang penjagaan alam ciptaan ­Tuhan,” katanya.

Penduduk Kampung Tupah, Hazimah Hashim, 48, berkata, kini kawasan rekreasi Tupah berubah wajah selepas kejadian itu

“Kita dapat lihat kawasan itu bersih, cantik dan selesa untuk dikunjungi berbanding dahulu yang agak suram dan dipenuhi kotoran.

“Tiada lagi sampah sarap atau akar kayu terbuang yang mencacatkan pemandangan selepas dibawa arus deras dan saya yakin kawasan itu akan kembali menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah selepas ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI