KUANTAN – Cadangan pembangunan lembah solar terbesar di Asia Tenggara di Felda Bukit Goh adalah salah satu daripada usaha penyelesaian dalam memastikan 402 peneroka yang terjejas akibat perlombongan bauksit mampu menjana pendapatan minimum RM3,000 sebulan pada peringkat awal di tanah rancangan berkenaan.
Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, program pembangunan di kawasan itu seperti lembah solar yang dicadangkan perlu dilakukan segera memandangkan tanah di situ sudah tidak lagi sesuai untuk pertanian.
“Jika ditanam semula sekali pun pastinya memerlukan modal yang tinggi bagi merawat tanah tersebut yang sudah tentu tidak menjanjikan kejayaan, jadi pembangunan perlu dilakukan mengambil kira masa depan peneroka dan generasi baharu golongan itu.
“Antara pembangunan yang kita lihat dan teliti berpotensi serta mampu memberikan pulangan berterusan kepada peneroka yang secara dasar diterima baik majoriti peneroka adalah pembangunan lembah solar ini,” katanya di sini semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan 402 peneroka Felda Bukit Goh kini dalam keadaan terumbang-ambing sejak aktiviti pengeluaran bauksit dihentikan enam tahun lalu, malah penanaman semula kelapa sawit di tanah itu juga tidak dapat dielakkan.
Berita berkaitan: Bauksit: Felda jangan ‘senyap’, bantu 402 peneroka
Susulan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah berkata, kerajaan negeri memandang serius nasib peneroka yang kehilangan pendapatan sejak enam tahun lalu.

Beliau turut meminta pihak Felda supaya bertindak proaktif dengan nasib yang menimpa kira-kira 402 peneroka Felda Bukit Goh yang tersepit selepas tidak dapat mengeluarkan bauksit serta terlibat dalam proses penanaman semula.
Berita berkaitan: Bauksit: Dilema 402 peneroka Felda Bukit Goh
Menurut Jefri, cadangan projek lembah solar yang terbesar negara itu adalah merupakan antara projek solar terbesar negara yang melibatkan kerjasama antara G2G dan sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang itu.
Katanya, projek ini melibatkan pembangunan lembah solar 300 megawatt di tanah seluas kira-kira 1,618 hektar melibatkan pelaburan besar yang dijangka mencecah bilion ringgit.
“Memorandum Persefahaman Perancangan Projek Pembangunan Solar Farm Felda Bukit Goh telah ditandatangani antara G2G dengan Loyalty Holdings Sdn. Bhd. dan proses seterusnya giat dilakukan bagi merealisasikan projek ini.
“Ia sudah tentu akan memberikan manfaat kepada peneroka yang akan mendapat pendapatan berterusan tetapi dalam masa sama tanah masih terus dimiliki oleh peneroka,” ujarnya.














