fbpx
Jafri menunjukkan tanah bauksit di Felda Bukit Goh, Kuantan.

Bauksit: Dilema 402 peneroka Felda Bukit Goh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Nasib seramai 402 peneroka Felda Bukit Goh kini dalam keadaan terumbang-am­bing sejak aktiviti pengeluaran bauksit dihentikan, malah penanaman semula kelapa sawit di tanah itu juga tidak dapat dilakukan.

Enam tahun lalu peneroka ini dijanjikan pendapatan lumayan apabila tanah sawit itu digunakan untuk perniagaan bauksit dan disebabkan itu mereka terkeluar dalam program penanaman semula sawit oleh Felda.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kesan perlombongan bauksit jelas kelihatan dengan kawasan kosong bekas perlombongan yang tidak ditumbuhi pokok dan juga stok bauksit yang dilonggok bagaikan bukit.

Malah, kawasan pokok sawit yang ditebang tetapi tidak sempat dilombong telah menjadi hutan, manakala pokok sawit yang masih ada sudah menjulang tinggi dengan hasil yang kurang.

Jika terus dibiarkan berlarutan ladang-ladang sawit yang masih belum ditebang dan kawasan bekas aktiviti bauksit seluas kira-kira 1,627 hektar itu akan menjadi hutan dan kawasan terbiar.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan (G2G), Jafri Salim berkata, keadaan pe­neroka dan anak-anak peneroka di sini amat tertekan apabila masa depan mereka gelap selepas hilang punca pendapatan.

“Kini peneroka dan generasi baharu hilang pendapatan, bukan sahaja aktiviti bauksit dihentikan, malah penanaman semula tidak dilaksanakan oleh Felda yang turut melibatkan peneroka yang tidak termasuk dalam aktiviti perlombongan bauksit.

“Sehingga kini saya lihat tidak ada satu kaedah yang memperlihatkan bauksit akan berjalan balik kerana penilaian impak alam sekitar (EIA) sudah dua kali gagal, sepatutnya pihak berkenaan beritahu apa hendak dilakukan selepas ini,” katanya.

MOHAMAD AZLAN berada di ladang kelapa sawit seluas dua hektar yang ditebang sebelum sempat dilombong bauksit di Felda Bukit Goh.

Menurutnya pada masa ini seramai 402 peneroka di tanah rancangan berkenaan telah terkeluar daripada program penanaman semula kelapa sawit termasuklah yang tidak terlibat dalam perlombongan tetapi mempunyai ladang berhampiran kawasan perlombongan.

Dalam pada itu dia berkata, bagi yang terlibat dengan aktiviti bauksit kini menghadapi masalah apabila kawasan ber­kenaan sudah tidak lagi subur untuk pertanian kerana kehila­ngan tanah lapisan atas.

Kata Jafri, keadaan ini akan menyebabkan sawit tidak lagi dapat hidup subur dan memerlukan pelaburan tinggi untuk membaik pulih tanah yang belum menjanjikan kejayaan.

Beliau memberitahu pokok yang tidak ditebang pula kini sudah berusia lebih 25 tahun menyebabkan hasil yang kurang tetapi kos pengendalian yang lebih sehingga membebankan peneroka.

Seorang generasi kedua Felda Bukit Goh, Mohamad Azlan Mustafa, 39, berkata, sudah enam tahun mereka tidak memperoleh hasil daripada kawasan ladang sawit selepas moratorium dilaksanakan.

Dia memberitahu, kira-kira dua hektar kawasan ladang sawitnya telah dilombong bauksit, manakala dua hektar lagi menjadi hutan apabila kesemua sawit telah ditebang tetapi tidak sempat dilombong.

“Saya kini terbeban kerana tidak mampu menanam semula kawasan yang sudah ditebang apatah lagi merawat semula kawasan dilombong yang sudah menjadi kawasan lapang dengan batuan keras.

“Mana kami ada duit untuk tanam semula kerana duit jualan bauksit yang dibahagikan kepada semua adik beradik sudah lama habis, kini kami adik-beradik terpaksa buat banyak kerja untuk sara kehidupan,” katanya.

Jelasnya lagi, dia berharap duit sebanyak RM41,000 untuk penanaman semula yang patut diberikan Felda akan diperolehi.

“Kalau dapat duit itu, pene­roka dapat buat sendiri penanaman semula sawit ini,” ujarnya.

Difahamkan seramai 194 orang peneroka daripada keseluruhan 671 peneroka di tanah rancangan itu terlibat dalam perlombongan bauksit dan tidak lama lagi akan dilakukan penanaman semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN