fbpx

Perkasa jangan sampai terseksa isu bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memansuhkan seketika saingan Liga Premier untuk memberikan laluan kepada 18 pasukan menyertai saingan Liga Super musim depan menimbulkan reaksi yang pelbagai dalam kalangan peminat.

Ia bukanlah keputusan veto dibuat MFL sebaliknya hasil perbincangan mendapat lampu hijau daripada semua pasukan dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa kali ketiga yang diadakan bulan lalu.

Sejujurnya, cadangan meletakkan kesemua 18 pasukan dalam saingan utama di negara ini dengan memansuhkan Liga Premier adalah satu keputusan yang perlu diambil seiring dengan perkembangan bola sepak semasa terutama ketika skuad kebangsaan juga sudah mula menunjukkan perubahan positif.

Cadangan ini dilihat sebagai suatu yang sempurna dalam menjadikan bola sepak di Malaysia lebih dinamik kerana semua pasukan perlu melalui jumlah perlawanan yang lebih banyak, sekali gus membantu aspek kompetetif dan peningkatkan prestasi pemain.

Namun, semua pasukan perlu membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi saingan itu kelak kerana perubahan itu akan melibatkan isu kewangan.

Bagi mengharungi 34 perlawanan liga semusim, belum dikira untuk aksi Piala FA dan Piala Malaysia, pasukan yang bertanding perlu memiliki asas kewangan yang tersangat kukuh dalam menampung kos-kos yang perlu diselesaikan melibatkan pengangkutan, penginapan, bonus pemain dan pelbagai lagi.

Itu belum dikira setiap pasukan perlu mewujudkan satu lagi pasukan iaitu pasukan Bawah 23 tahun yang akan bertanding dalam saingan Liga Simpanan sambil pasukan Piala Presiden dan Piala Belia terus dikekalkan.

Sekarang, kerja-kerja perlu dimulakan oleh pihak kelab kerana jumlah perlawanan itu memberi ruang untuk mereka menjana pendapatan yang lebih menerusi kutipan tiket, hak penyiaran, penajaan dan banyak lagi peluang, namun ia bergantung kepada kesan domino apabila semuanya saling terkait.

Perkara yang paling pokok adalah pemerkasaan pasukan kerana tiket hanya mampu terjual jika pasukan anda mampu menjadi kuat dan berkeupayaan memenangi perlawanan untuk menarik peminat ke stadium.

Apabila pasukan menjadi kompetitif dan mempunyai ramai peminat, kelab-kelab boleh menjana pendapatan menerusi pelbagai cabang termasuk penjualan merchandise dan sebagai.

Ketika pasukan mula menjadi fenomena, sudah pasti ia akan menarik banyak syarikat untuk menumpang populariti berkenaan menerusi proses penajaan.

Rancangan mengangkat kredibiliti liga tempatan ini secara teorinya lunak dan indah untuk didengar, tetapi ia menagih kesediaan semua pihak untuk bekerja keras kerana proses pemerkasaan mampu menjadi mimpi ngeri untuk pasukan yang tidak melihatnya secara serius.

Modelnya sudah ada, lihat sahaja penjenamaan semula Johor Darul Ta’zim yang dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan apa yang dilakukan Kelantan ketika era kebangkitan pada 2008 hingga 2014 lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI