SELEPAS mengambil kedudukan yang sesuai, tangan kanan Saegaran Kanalanadan, 50, mencapai satu anak panah permainan dart berwarna merah.
Matanya pula difokuskan kepada sekeping papan dart yang berjarak 2.37 meter di hadapannya sebelum melemparkan anak panah dart yang dipegang itu dengan gerakan jari yang menghala ke atas.
Selepas panahannya mengena pada sasaran, jumlah mata yang diperoleh kemudian dicatat dan ditolak daripada jumlah mata asal iaitu 501.
“Apabila anda mengikuti semua kaedah permainan yang betul seperti tahap kefokusan yang tinggi, maka anda akan boleh melemparkan anak panah pada sasaran yang tepat,” ujar Saegaran yang merupakan Setiausaha Persatuan Dart Malaysia kepada K2.
Mungkin ramai yang sering melihat papan dart yang berbentuk bulat dengan beberapa warna tertentu itu dipamerkan di rumah-rumah, namun tidak ramai yang tahu sejauh mana permainan itu dimainkan oleh rakyat Malaysia.
Menurut Saegaran, dart merupakan satu permainan yang boleh dimainkan secara individu mahupun berpasukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur atau jantina dan sudah pun dimainkan sejak begitu lama.
Namun, ia mungkin kurang popular memandangkan permainan dart tidak diiktiraf sebagai satu sukan di negara ini.

Ujar Saegaran yang sudah bermain dart sejak 28 tahun lalu, permainan itu juga adakalanya dianggap sukar memandangkan ia memerlukan pemainnya untuk mempunyai kebolehan mengira dengan pantas, kekuatan mental dan juga tahap fokus yang tinggi.
“Asas permainan dart memerlukan pemain mengurangkan mata asal yang diberikan pada awal permainan dengan membaling tiga dart atau anak panah pada papan dart yang bersegmen dan juga bernombor.
“Ia memerlukan kesabaran, fokus dan juga kebolehan mengira dengan pantas,” katanya sambil memberitahu pemain mestilah melontarkan dart dalam keadaan tubuh menegak dan tidak boleh membongkok.
Selain dimainkan secara fizikal, dart juga merupakan satu permainan yang boleh dimainkan secara online.
Bagi permainan online, pemain hanya memerlukan sebuah peranti elektronik seperti telefon pintar atau tablet yang membolehkan pihak lawan melihat papan dart anda dan sebuah lagi peranti elektronik yang dihubungkan dengan pihak lawan bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemas kini jumlah mata.
Maka, tidak hairanlah permainan tersebut kekal relevan dan masih terus dimainkan biarpun ketika dunia dilanda pandemik.

Bercerita tentang permulaan penglibatannya dengan sukan dart, Saegaran berkata, dia mula bermain permainan itu pada tahun 1994 semasa bertugas di Bintulu, Sarawak.
“Ketika itu, dart merupakan aktiviti riadah yang cukup menyeronokkan bersama rakan-rakan selepas waktu bekerja.
“Saya kemudian mula mengambil bahagian dalam pertandingan kecil-kecilan di sekitar Sarawak dan pernah mewakili pasukan novis Sarawak pada tahun 1997 ke Kejohanan Tertutup Malaysia.
“Bertitik tolak dari situ, saya bertemu dengan pemain yang jauh lebih handal daripada saya dan salah seorangnya adalah M.S Rajoo yang merupakan pemain dunia pada kedudukan kelima terbaik pada ketika itu,” ujarnya.
Saegaran seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Dart Malaysia kerana minatnya yang cukup mendalam untuk membangunkan industri permainan dart negara.
“Kenangan paling manis setakat ini adalah ketika saya dilantik menjadi pengurus pasukan kebangsaan ke Kejohanan Dart Asia Pasifik di Hong Kong pada tahun 2014 yang mana kami berjaya merangkul pingat emas dalam acara berpasukan dan perseorangan lelaki serta pingat perak dan gangsa dalam semua acara yang mengambil bahagian.
“Kini, saya giat mengusahakan syarikat kerjasama PS Professional Darts Development Centre yang menumpukan perhatian pada penganjuran kejohanan dart serta mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan di kejohanan Professional Darts Corporation (PDC),” ujarnya sambil menambah kejohanan dart tempatan kali terakhir diadakan pada tahun 2019 di ibu kota Kuala Lumpur sebelum dihentikan seketika akibat pandemik.
Kejohanan besar dart yang akan dianjurkan PDC di negara ini dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 September depan dengan jangkaan penyertaan daripada 10 buah negara dengan lebih 400 orang pemain.
Biarpun dart merupakan sukan dengan jumah penglibatan yang agak memberangsangkan, ia tidak diiktiraf sebagai sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN).

Begitu pun, jelas Saegaran, Persatuan Dart Malaysia kerap menghantar pasukan negara ke kejohanan Asia Pasifik dan Piala Dunia kelolaan World Dart Federation dengan dana yang dikumpul melalui penganjuran Kejohanan Dart Terbuka Malaysia.
“Biarpun menghadapi banyak cabaran, saya beranggapan bahawa negara boleh berbangga dengan adanya jaguh dart tempatan yang merupakan antara yang terbaik di seluruh Asia.
“Komuniti dart Malaysia amat berharap agar permainan dart akan diiktiraf sebagai sukan dan diperkenalkan sebagai aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah.
“Dengan pengiktirafan tersebut, sukan dart berpotensi menjadi industri besar yang mampu melahirkan ramai pemain profesional bertaraf dunia,”
Seorang lagi pemain dart iaitu Michael Vesper yang kerap berkongsi video permainan tersebut menerusi laman YouTube miliknya, permainan dart sebenarnya tidak sesukar yang disangka dan lontaran yang baik mudah untuk dilakukan dengan latihan yang konsisten.
“Anda seharusnya kenal dengan cara permainan anda sendiri dan perlu merasai sendiri setiap lontaran dan gerakan yang dibuat saat bermain.
“Selain belajar gerakan orang lain, pelajari juga gerakan diri sendiri kerana dari situlah terletaknya dedikasi tertinggi seorang pemain dart,” ujarnya.














