fbpx

Sorok pistol, dadah RM19,250 dalam semak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kedemit, Palekbang dekat Tumpat minggu lalu. - FOTO: KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Polis merampas sepucuk pistol selepas menahan tiga individu termasuk pasangan kekasih yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah jenis pil kuda dan ganja RM19,250 berhampiran kawasan sebuah rumah di Kampung Kedemit, Palekbang dekat Tumpat minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek berusia 27 dan 39 tahun itu dicekup dalam serbuan Ops Tapis Khas yang dijalankan kira-kira pukul 11 malam pada Rabu lalu.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, polis menjumpai pistol jenis S&W .357 magnum di dalam bekas plastik di atas tanah bersama bekas berisi 29 butir peluru yang disembunyikan di dalam kawasan semak berhampiran rumah tersebut.

“Siasatan lanjut di kawasan itu turut membawa kepada penemuan sebanyak 800 biji pil kuda dan ganja seberat 225 gram dianggarkan bernilai RM19,250 yang berada di dalam satu bekas tin di atas tanah.

“Ujian saringan itu terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif methaphetamine. Selain itu, setiap suspek masing-masing mempunyai rekod kesalahan lampau antara tiga hingga 11 kes,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Jazz, motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan seutas jam tangan bernilai RM4,000.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, menurut Muhamad Zaki, polis turut menahan seorang buruh dan merampas sebanyak 2,600 biji pil kuda bernilai RM26,000 dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Felda Kemahang, Tanah Merah, Jumaat lalu.

“Serbuan dijalankan pada pukul 12.40 tengah hari sebelum mendapati suspek yang berusia 23 tahun menyimpan dadah-dadah itu di dalam sebuah beg galas.

“Siasatan mendapati, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine mempunyai satu rekod kesalahan lampau,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, suspek direman selama enam hari bermula Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI