fbpx

Harga maksimum minyak masak 5kg RM34.70, bakal diumum setiap bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memutuskan harga maksimum bagi minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol lima kilogram (kg) ditetapkan pada harga RM34.70 berkuat kuasa 8 Ogos nanti.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan penetapan harga maksimum tersebut akan dibuat secara bulanan bermula bulan ini.

Jelasnya, penetapan tersebut dibuat berdasarkan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) yang akan diumumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap bulan.

“Satu kaedah pengiraan akan ditentukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setelah berunding dengan pemain-pemain industri bagi memastikan margin keuntungan.

“Bagi bulan Ogos, MPOB telah memaklumkan harga minyak sawit purata bagi bulan yang lepas iaitu bulan Julai, ialah pada RM4,631 matrik tan.

” Berdasarkan pada harga tersebut, harga jualan minyak masak dalam botol lima kilogram telah diputuskan untuk ditetapkan pada RM34.70, ” jelasnya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Tambahnya lagi, dari tarikh yang diumumkan hari ini, penguatkuasaan di kedai-kedai di peringkat runcit hendaklah mula dilaksanakan tujuh hari kemudian iaitu bermula 8 Ogos ini.

” Pihak KPDNHEP akan ambil langkah untuk wartakan harga maksimum yang ditetapkan ini dan ia dibuat dalam tempoh seminggu bagi membolehkan pelaksanaan dilakukan pada 8 Ogos.

“Pada bulan-bulan akan datang, keadah sama akan dikekalkan di mana setiap 1 hari bulan MPOB akan buat pengumuman harga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI