fbpx

Gamat, Panorama Jingga Kembara hanyutkan emosi, buai nostalgia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAKU pengasas dan vokalis utama, M. Nasir menghanyutkan emosi 2,600 penonton menerusi konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah di KLCC malam tadi.

KUALA LUMPUR – “Puas dan bertenaga!”

Demikian perasaan yang dapat disimpulkan tentang konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah oleh kumpulan muzik legenda tersohor, Kembara malam tadi.

Konsert yang menampilkan gabungan tenaga dan kehebatan vokal Datuk M. Nasir bersama anggota asal Kembara iaitu Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md. Shah Othman (keyboard) memukau 2,600 penonton berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC.

Selaku vokalis utama Kembara, M. Nasir menyifatkan konsert yang berlangsung itu sungguh istimewa dan ditunggu-tunggu bukan sahaja buat anggota muzik, bahkan oleh peminat lebih-lebih lagi selepas kali terakhir muncul di pentas besar pada 2014.

“Istimewanya konsert ini kerana persembahan yang dibawa merupakan ‘suara’ satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi tahun 1980-an. Selain muzik rock yang keras, Kembara membawa satu muzik yang berbeza iaitu daripada segi senikata.

“Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khasnya,” terang M. Nasir yang juga pengasas kumpulan tersebut.

Tambah penyanyi yang digelar ‘sifu’ itu lagi, muzik yang dihasilkan bukan tertakluk pada satu-satu generasi sahaja, sebaliknya muzik tersebut boleh diterima oleh generasi akan datang.

“Ini bukan muzik lama, tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu sahaja (80-an). Bentuk muzik akan mengjangkau generasi.

Persembahan yang berlangsung selama tiga jam menerusi seleksi 30 buah lagu popular Kembara daripada album keempat hingga album ketujuh itu turut menampilkan penyair popular Pyan Habib yang muncul sebagai tetamu istimewa membawakan ingatan peminat ke zaman Kembara Seniman Jalanan dengan watak ikoniknya Osman Tikus.

Antara lagu-lagu yang ditampilkan pada malam itu adalah seperti Kepada Mu Kekasih, Gadis Berpurdah Hitam, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Kerocong Untu Ana, Nyanyian Jiwa dan lagu yang ditunggu-tunggu peminat, Gerhana.

Pada malam persembahan itu juga, Kembara juga turut memainkan beberapa lagu yang telah dirakamkan lebih daripada 30 tahun lalu dan tidak pernah dimainkan dalam  mana-mana persembahan.

“Kita banyak kena main lagu yang belum pernah dimainkan lagi. Jadi kena praktis lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan itu, istimewanya lagu-lagu tersebut telah dirakam lebih daripada 30 tahun lalu.

“Tidak sangka bila Kembara semak semula lagu-lagu yang ada, kami sendiri terkejut kerana terdapat lagu yang sedap seperti Putar Alam dan patut diketengahkan sebelum ini,” jelasnya.

Tanpa rehat untuk berhenti biarpun meneguk segelas air, M. Nasir mengakhiri persembahannya menerusi lagu Gerhana sekali gus membuatkan penonton yang berada di dalam dewan gamat, berdiri dan menyanyi bersama-sama.

Rata-rata penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur kelihatan puas sehingga ada yang menitiskan air mata apabila dapat melepaskan rindu berhibur dengan kumpulan muzik Kembara yang dibawakan oleh Shiraz Projects Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI