fbpx
Jetour T2 dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci.

T2 SUV kembara berpandukan falsafah Travel+

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JETOUR antara jenama baharu yang membuat kemunculan di Malaysia dan telah melancarkan beberapa kenderaan model kenderaan utiliti sukan (SUV) di pasaran tempatan.

Terkini, Jetour Malaysia baharu sahaja melancarkan Jetour T2, sebuah SUV berkeupayaan tinggi direka untuk rakyat Malaysia yang mahukan kepraktisan harian bersama kebolehan merentas pelbagai jenis permukaan jalan.

Model ini menggabungkan kuasa enjin turbo, keupayaan pacuan semua roda pintar, sambungan teknologi terkini serta ciri keselamatan komprehensif dalam reka bentuk kotak yang tersendiri dan menonjol di jalan raya Malaysia.

Pengenalan Jetour T2 turut mengukuhkan kehadiran Jetour di Malaysia dengan menawarkan pilihan menarik kepada pelanggan dalam segmen SUV berorientasikan pengembaraan yang semakin berkembang.

Pelancaran Jetour T2 merupakan satu pencapaian penting bagi Jetour di Malaysia.

Berpandukan falsafah Travel+, mereka mencipta kenderaan yang menggabungkan mobiliti, gaya hidup dan penerokaan secara menyeluruh bagi menyokong keperluan perjalanan harian serta pengalaman perjalanan yang lebih bermakna.

Jetour T2 dipacu dengan enjin 2.0 liter turbocharged direct injection (TGDi) yang menghasilkan 180kW kuasa dan 375Nm tork dipadankan dengan transmisi Dual Clutch 7-kelajuan (7DCT).

Kuasa disalurkan melalui sistem Intelligent XWD Jetour yang dilengkapi mod pemanduan 7+X, yang menyesuaikan pengagihan tork secara berterusan mengikut permukaan dan keadaan pemanduan.

JETOUR T2 mengukuhkan kehadiran Jetour di Malaysia.

Sama ada memandu dalam trafik bandar, di lebuh raya atau merentas permukaan jalan yang tidak rata, sistem ini meningkatkan cengkaman, kestabilan dan kawalan untuk memberikan keyakinan kepada pemandu.

Dalam masa yang sama, Jetour T2 dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci, menyerlahkan penampilan yang gagah serta kesediaan untuk pengembaraan luar jalan raya.

Dari segi reka bentuk, kenderaan ini tampil menonjol dengan rekaan gagah yang memberikan kehadiran jalan yang kukuh.

Antara elemen luaran utama termasuk lampu hadapan LED automatik, lampu tandatangan ‘JETOUR’ yang bercahaya, lampu belakang LED Light Ray yang tersendiri serta tayar simpanan yang dipasang di bahagian belakang, menonjolkan karakter pengembaraan kenderaan ini.

Selain itu, kenderaan ini dilengkapi dengan fungsi penutupan lembut (soft-close) turut menambah kemudahan dalam penggunaan harian.

Di bahagian dalaman, kabin menampilkan paparan multimedia 15.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar membolehkan integrasi telefon pintar secara lancar.

Pembantu suara pintar ‘Hello Jetour’ membolehkan pemandu mengawal navigasi, sistem pendingin hawa dan fungsi media melalui arahan suara, manakala pengecas tanpa wayar pantas 50W memastikan peranti kekal dicas sepanjang perjalanan.

Sistem audio premium SONY dengan 12 pembesar suara turut meningkatkan pengalaman pemanduan dengan kualiti bunyi yang imersif, sesuai untuk perjalanan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Tahap keselesaan dan kemewahan turut dipertingkat melalui tempat duduk kemasan leatherette, tempat duduk hadapan dengan fungsi memori dan welcome function, tempat duduk hadapan berpengudaraan (ventilated seats) yang sesuai dengan iklim tropika Malaysia.

Selain itu, kenderaan ini dilengkapi dengan pencahayaan ambien pelbagai warna serta bumbung suria panoramik yang memberikan rasa ruang kabin yang lebih luas.

Gabungan ciri-ciri ini menjadikan Jetour T2 sebuah SUV serba boleh yang mengimbangi pemanduan dalam bandar dengan semangat pengembaraan hujung minggu.

Keselamatan merupakan teras utama Jetour T2 yang telah memperoleh penarafan keselamatan 5-Bintang Asean NCAP.

Malah, SUV ini dilengkapi enam beg udara SRS, Advanced Driving Assistance System (ADAS) Tahap 2, Panoramic View Monitoring System yang memberikan pandangan 360 darjah di sekeliling kenderaan dengan fungsi transparent chassis serta Tyre Pressure Monitoring System (TPMS).

Kesemua sistem ini bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran pemandu, mengurangkan keletihan ketika memandu dan menyediakan perlindungan menyeluruh kepada penumpang.

Jetour T2 ditawarkan dalam tiga pilihan warna luaran iaitu Khaki White, Aviation Silver dan Carbon Black.

Ditawarkan pada harga pada harga RM156,800, Jetour T2 didatangkan dengan jaminan kenderaan selama 7 tahun atau sehingga 150,000km, serta jaminan rangkaian kuasa selama 10 tahun atau sehingga 1,000,000km sebagai bukti komitmen Jetour Malaysia dalam memberikan keyakinan pemilikan jangka panjang kepada pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN