SEBAGAI anak jati Negeri di Bawah Bayu, pemilik nama lengkap, Ahmad Ikhwan Aji itu sentiasa berbangga menjunjung nama negeri kelahirannya dalam bidang seni terutamanya menerusi cabang muzik.
Satu perkara yang kurang disenangi, jejaka sado berusia 28 tahun itu, agak terkesan apabila masih ada pihak memandang rendah terhadap orang Sabah.
Katanya, ada yang sewenang-wenangnya menyifatkan Sabah yang kaya dengan sumber semulajadi seperti hutan, galian, fauna, flora hinggalah ke hidupan laut sebagai sebuah negeri yang jauh daripada kemajuan.
Bahkan ada juga melihat Sabah, lebih mundur berbanding negeri lain di Malaysia, terutama Semenanjung.

‘Sabah kayakan negara’
“Ada yang cakap, orang Sabah pergi sekolah pun naik perahu. Ada yang bawa botol ‘minuman’ guna botol kicap ke sekolah.
“Saya tak nafikan yang situasi atau perkara tersebut memang masih wujud hingga sekarang.
“Ada juga yang cakap kami orang Sabah ada yang mundur masih tinggal atas pokok dan sebagainya.
“Mungkin masih ada sedaif itu terutama yang tinggal di kawasan pedalaman, ceruk pelosok atau di hulu negeri.
“Saya percaya, di Semenanjung pun mesti ada kelompok masyarakat kurang bernasib baik dan hidup begitu.
“Meletakkan stereotaip memang mudah tapi saya mahukan perubahan untuk semua orang tak kisahlah orang Semenanjung atau kami di Borneo,” kata Noki.
Melanjutkan bicara, pelantun lagu Payung Pelangi memberitahu, Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan itu perlu diakui semua orang.
“Apa yang saya boleh cakap, sebagai orang Sabah yang sangat berbangga dengan negeri kelahiran, saya nak nasihatkan kepada semua orang, sebelum menghakimi atau sibuk cakap itu ini mengutuk Sabah mundur, tolong selidik atau buat kajian.
“Barulah boleh tahu Sabah ini negerinya bagaimana. Saya bukan mahu terlalu mendabik dada tapi hasil kekayaan negara sebenarnya banyak juga disumbangkan oleh Sabah.
“Sama-samalah kita membangun dan elakkan sifat prejudis sesama sendiri. Sabah ini besar dan negeri ini sahaja boleh ‘ambil’ separuh daripada Semenanjung.
“Senang cerita sebelum berkata itu ini tentang Sabah, buat ‘research’ dulu. Lagi senang, datang terus ke negeri kami,” ungkap juara Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) itu menerusi lagu Gila itu.

Tunduk membumi
Diajak berbicara tentang lantunan kariernya yang semakin ligat, baik dari segi lakonan mahupun nyanyian, Noki menzahirkan kesyukuran dengan rezeki kurniaan Ilahi. Dia berharap akan terus tunduk membumi walaupun nama dicanang tinggi.
“Alhamdulillah, Allah bagi rezeki seadil-adilnya. Bukan untuk saya sahaja tetapi untuk teman-teman lain dalam K-Clique. MK pun makin selesa dengan apa yang dia buat.
“Untuk saya, memang tak sangka berada pada tahap sekarang sampai pernah menang AJL dapat bertanding di pentas berprestij tersebut sebanyak dua kali.
“Bagaimanapun, tak mustahil apa yang kita ada sekarang bila-bila masa sahaja Tuhan boleh tarik balik. Hidup ini umpama roda dan kita tak semestinya akan selalu di atas.
“Apa pun yang saya buat, saya berharap terus menunduk ke bumi dan ingat bahawa apa yang saya lakukan sekarang bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk keluarga tersayang di Sabah,” ujar anak bongsu daripada lima adik-beradik itu.
Mengimbas kesusahan yang terpaksa dihadapi sebelum berada pada tahap sekarang, Noki mendedahkan, dia bukan datang daripada keluarga yang senang-lenang.
Kehidupan itulah membuatkan dirinya bersungguh-sungguh mengubah nasib dengan bakat pinjaman Tuhan. “Perkara pertama, saya nak senangkan keluarga. Memang target nak belikan mereka sebuah rumah. Belum tercapai lagi, insya-Allah dalam perjalanan ke arah itu. “Dalam keluarga, saya antara yang berkemampuan bantu keluarga sedangkan saya anak bongsu. Saya tak kisah tinggal seorang diri di Kuala Lumpur, ‘struggle’ macam mana sekalipun, tidak mengapa asalkan dapat beri kesenangan kepada keluarga.
“Kadang-kadang rasa ‘sesak’ tapi tak semua orang tahu. Barangkali, itulah asbab kenapa Tuhan pilih saya nak bantu keluarga, daripada hidup yang tak berapa senang. Tuhan nak saya bantu keluarga sebab itu, saya diberi rezeki yang lebih,” tuturnya.

Diganggu ‘biawak’, tiada kekasih
Berbadan sasa dan memiliki penampilan mampu mencairkan hati wanita, Noki bagaimanapun mendedahkan masih tidak mempunyai kekasih.
Bukan terlalu memilih atau masih belum terfikir untuk ke arah yang lebih serius dalam kehidupan iaitu perkahwinan, Noki memaklumkan, usianya masih muda.
Sekarang, dia berada dalam fasa menstabilkan kewangan sendiri sebelum berganjak ke fasa seterusnya.
“Keluarga di Sabah pun dah sibuk tanya bila nak kahwin apa semua. Tapi, saya bukan cakap tak nak kahwin. Saya tunggu nak stabilkan ekonomi diri dan pada masa sama, tunggu jodoh yang sesuai.
“Sekarang ini teman wanita pun saya tiada. Betul, saya tak tipu. Kalau ada mesti orang dah nampak saya dengan siapa sekarang (ketawa),” katanya.
Semakin dikenali dalam kalangan peminat, Noki membuat pengakuan sering diganggu dalam media sosial.
Kelakarnya, bukan hanya wanita bahkan golongan sejenis juga cuba untuk ‘masuk daun’ berdamping dengan dirinya.
“Banyak ‘biawak’ yang kacau. Saya pun tak tahu mengapa ada yang tak malu hantar direct message (DM) bukan-bukan.
“Saya tak mahu tergesa-gesa soal jodoh. Saya pun sedar yang saya pun tak betul sangat sekarang. Jadi, kita perbetulkan diri dahulu.
“Tapi kalau tanya tentang wanita idaman, saya dambakan seorang wanita yang berpurdah. Kalau boleh yang tahu serba-serbi tentang agama, aurat apa semua dan tak perlu pun saya ajar.
“Sungguhpun begitu, saya nak ‘demand’ begitu dalam keadaan saya pun tak sempurna, saya kena sedar diri juga dan terus memperbaiki diri menjadi orang yang lebih positif dari hari ke hari,” ungkapnya menggulung bicara.

Tatarias R.D IDEWANI ZAINI | Busana KSUBI MIND KIND KL (MELIUM) & KOLEKSI R.D IDEWANI














