fbpx

Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP) tawar 55,000 peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman (tengah) bercakap pada sidang akhbar lanjutan Program Jamin Kerja Insentif Pengajian dan Ekspo Kerja Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Menara Perkeso, Kuala Lumpur. - FOTO/AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dilanjutkan pelaksanaannya selama enam bulan sehingga 31 Disember ini, menyediakan kira-kira 55,000 peluang pekerjaan kepada golongan rentan.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sasaran itu adalah bagi menyokong matlamat program JKIP untuk mewujudkan sebanyak 300,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini.

“Lanjutan program ini akan memberikan tumpuan kepada usaha pengambilan pekerja daripada sektor pelancongan, pekerja yang menggantikan pekerja asing (program Malaysianization), orang kurang upaya (OKU), wanita dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.

“Sehubungan itu, sebanyak 475 juta daripada RM2 bilion Program JKIP di bawah Bajet 2022 akan disalurkan oleh Perkeso sebagai insentif kepada majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan dan membuat pengambilan kepada seramai 55,000 pekerja daripada golongan mudah terjejas ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelanjutan JKIP ini, syarat permohonan dan kadar insentif kepada majikan serta bantuan mobiliti kepada pekerja yang diambil adalah kekal seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan itu memandangkan intervensi dan sokongan kerajaan amat penting untuk merancakkan pasaran buruh negara lebih-lebih lagi pengangguran berada pada kadar 3.8 peratus, lebih tinggi berbanding sebelum pandemik.

Ujarnya lagi, Perkeso juga bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam berkongsi maklumat selain pihak kementerian dan pembuat dasar bagi mengatasi masalah ‘mismatch’ iaitu pekerjaan tidak sepadan kelayakan.

“Ia adalah proses sentiasa berjalan dan kalau kita lihat, penawaran pekerjaan itu banyak kategori tidak memerlukan kelayakan tinggi seperti sijil, diploma dan ke atas. Namun kebanyakan yang ditawarkan seperti lepasan sekolah sahaja.

“Sebab itu wujud isu ‘mismatch’ (tidak sepadan) dan kita juga lihat perkara itu. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyatakan kalau boleh majikan perlu melihat untuk menawarkan gaji lebih baik jadi, mungkin lebih ramai akan tampil ambil peluang ini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir pada 30 Jun lalu kepada 31 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI