fbpx

Mahkamah: Penolong Pegawai Pendidikan tidak mengaku terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fauzi Abdul (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM2,000.

SEREMBAN – Seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM2,000 berhubung kelulusan tuntutan pengawal keselamatan di sekolah, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fauzi Abdul, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fauzi sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson telah secara rasuah bersetuju menerima satu suapan iaitu wang tunai RM2,000 daripada seorang individu untuk meluluskan tuntutan tugas pengawal keselamatan bulan Oktober 2017 di sekolah-sekolah dalam daerah Port Dickson.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Lukut, Port Dickson pada 16 November 2017.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Port Dickson sekali sebulan iaitu pada atau sebelum 7 haribulan dan kes akan disebut semula pada 30 Ogos. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI