fbpx

Kemalangan lori punca Loji Rawatan Air Bukit Tampoi henti tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota LUAS memasang oil boom bagi mengelak tumpahan minyak sawit terus mengalir dari memasuki LRA Bukit Tampoi.

SHAH ALAM – Kemalangan melibatkan dua buah lori muatan minyak sawit dan tanah di Kilometer 36.8 Lebuh Raya Utara- Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi di sini semalam.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu telah menyebabkan tumpahan minyak sawit memasuki sistem saliran berdekatan dan juga memasuki Sungai Semarang, seterusnya ke Sungai Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, jarak lokasi kawasan pencemaran dengan muka sauk LRA berkenaan kira-kira 700 meter.

Katanya, atas langkah pencegahan dan kawalan menyebabkan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) telah mengaktifkan henti tugas LRA berkenaan bagi mengelakkan pencemaran berkenaan memasuki sistem loji tersebut.

“Berdasarkan rekod, tiada gangguan bekalan air dilaporkan oleh pihak Air Selangor.

“LRA dijangka beroperasi semula setelah tiada kesan bau dan minyak di dalam sumber air mentah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kosmo! difahamkan loji tersebut belum beroperasi dan bekalan air ketika ini disalurkan kepada penduduk menerusi
LRA Semenyih.

Loy Sian memberitahu, LUAS telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko.

Ujarnya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut meletakkan 25 beg serbuk kayu di kawasan yang terlibat sebagai inisiatif pencegahan untuk mengekang insiden daripada bertambah teruk.

“LUAS pula telah meletakkan sekotak oil pad di dalam longkang lebuh raya untuk mengelakkan sisa minyak terus mengalir ke dalam sungai.

“Empat oil boom telah dipasang dengan di dalam dan selepas saliran pembetungan longkang bagi menghalan aliran sisa minyak dari terus memasuki Sungai Semarang selain satu sebelum pertemuan dengan Sungai Langat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Sepang telah mengarahkan premis kilang kelapa sawit terlibat menjalankan kerja-kerja pembersihan (penyedutan baki sisa minyak) dengan kadar segera.

“Selain itu, hasil siasatan LUAS di kawasan hilir dan hulu muka sauk Bukit Tampoi sehingga jam 3.20 pagi tadi mendapati tiada sebarang kesan minyak ditemui di kesemua titik pensampelan.

“Hasil sampel diambil LUAS telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa. Kerja-kerja pembersihan dan penyedutan masih lagi dijalankan oleh premis terlibat dan dibantu melalui kontraktor yang dilantik pihak LUAS,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI