fbpx
IQRAM DINZLY

Iqram Dinzly, antara realiti vs fantasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERAP kali menafikan sangkaan orang terhadap dirinya, Iqram Dinzly mengakui terbeban membawa nama sendiri, sesuatu yang baginya cukup berat untuk dikendalikan buat masa ini.

Dahulu, pelakon lelaki ini pernah menjadi antara pujaan ramai dek ketampanan paras rupa selain bakat besar dalam bidang lakonan.

Wajahnya menjadi antara pelaris dalam sesebuah naskah untuk memancing penonton. Ketika sedang di puncak populariti, pemilik nama lengkap Iqram Dinzly itu bagaimanapun memilih untuk menghilangkan diri daripada kanvas seni hiburan tempatan atas sebab-sebab tertentu.

Namun, kemunculan semulanya dalam media sosial dengan sisi berbeza amat mengejutkan dan mengelirukan peminat.
Iqram yang sebelum ini sering tampil dengan gaya macho tiba-tiba menjadi buah mulut dek perangai dan perwatakan pelik yang dimainkan dalam media sosial.

“Macam orang gila”. Mungkin itu frasa paling tepat menggambarkan penampilan serta perwatakan Iqram ketika membuat kemunculan semula dalam platform media sosial.

IQRAM pernah berjumpa dengan tiga orang pakar psikiatri untuk membuktikan bahawa dirinya tidak gila seperti yang didakwa netizen.

‘Orang gila’

Lebih aneh, dia juga enggan lagi dikenali dengan nama Iqram Dinzly. Dia sebaliknya memperkenalkan identiti baharunya sebagai Prince Chiki Dinzly.

Bagaimanapun, Iqram ketika ditemui HibGlam menolak keras gelaran ‘orang gila’ yang dilemparkan kepadanya. Dakwa Iqram, dia masih siuman.

“Yang gila itu Prince Chiki Dinzly, bukan Iqram Dinzly. Prince Chiki Dinzly ialah karakter yang saya tampilkan dalam media sosial bagi mewakili netizen,” katanya.

Ujar Iqram, selain Prince Chiki Dinzly, dia turut mendakwa memiliki lima lagi karakter lain yang belum ditunjukkan kepada masyarakat.

“Sebenarnya saya ada lagi lima karakter yang belum lagi saya keluarkan.

“Karakter Prince Chiki Dinzly diwujudkan sebagai mewakili watak netizen yang selalu berasa berkuasa dalam media sosial,” jelasnya.

Ketika disoal sama ada marah atau sebaliknya dengan pelbagai jolokan, termasuklah tidak waras, hilang siuman dan gila yang ditujukan terhadapnya, Iqram tidak menyembunyikan rasa hati. Dia marah dengan pelbagai tuduhan tersebut.

“Saya marah bila orang kata Iqram Dinzly gila sedangkan sudah banyak kali Prince Chiki Dinzly cakap bahawa Iqram Dinzly sudah ‘mati’.

“Bila netizen, tabloid atau berita laporkan bahawa individu dalam ‘Live’ itu Iqram Dinzly, saya jadi marah.

“Sebab Iqram Dinzly dan Prince Chiki Dinzly adalah dua individu berbeza,” katanya.

IQRAM menyifatkan populariti yang diraih suatu masa dahulu seperti memakan diri sendiri apabila bersikap boros, lara dan hilang identiti. – MOHD. AFIQ RAZALI

Bebanan

Jelas Iqram, dia tidak mahu lagi ‘Iqram Dinzly’ hadir dalam hidupnya kerana watak tersebut terlalu berat untuk dipikul.

“Iqram Dinzly yang dahulu orang nampak indah, nampak sentiasa gembira. Jujur saya sebenarnya sudah tidak mahu ‘Iqram Dinzly’ dalam hidup saya sebab terlalu berat.

“Untuk iu, saya cipta semula nama Iqram Dinzly itu, saya serahkan kepada Allah SWT,” jelasnya.

Dalam pada itu, Iqram juga memberitahu sudah penat dengan sikap panas baran, pemarah dan mahu berubah ke arah lebih baik dalam hidupnya.

MENJENGAH usia 41 tahun, Iqram tidak lagi memikirkan soal cinta dan menyerahkan urusan jodoh kepada Tuhan.

Cinta Hilang Kata

Namun, Iqram berkata, niat untuk berubah ke arah lebih baik dan tenang teruji apabila perlu bergelut dengan perasaan saat menjayakan watak Amirul dalam drama Cinta Hilang Kata.

“Saya sudah penat dengan sikap panas baran yang mana jika silap cakap sikit saja sudah melantun. Jadi, saya cuba perbaiki diri dan tidak dibelenggu dengan sikap yang sama lagi.

“Namun, watak Amirul dalam drama Cinta Hilang Kata bertentangan dengan ketenangan yang cuba saya terapkan.

“Jadi, saya anggap watak kali ini sebagai cabaran dan ujian paling besar yang Allah kurniakan untuk saya lalui dalam proses mematangkan diri,” katanya.

Menerusi drama Cinta Hilang Kata, Iqram berkata watak yang diberikan kepadanya sangat berat sehingga memberi beban yang akan menghuru-harakan hidupnya.

Dalam drama itu, Iqram perlu menjadi seorang anak derhaka terhadap ibunya tanpa sengaja. Bahkan, drama tersebut itu juga memberikan pengalaman kepadanya untuk menjadi ‘orang gila’ yang mempunyai masalah mental.

“Empat tahun saya mencari rasa menjadi orang gila, tapi akhirnya terjawab dalam drama Cinta Hilang Kata,” ujarnya teruja apabila dapat bergandingan dengan pelakon hebat, Liza Abdullah sebagai ibunya dalam drama berkenaan.

KATA Iqram, empat tahun dia mencari rasa menjadi orang gila, tapi semuanya terjawab dalam drama Cinta Hilang Kata.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN