SHAH ALAM – Semua agensi akan disatukan menerusi Skim Jaminan Air Mentah (SeJAM) bagi mengatasi masalah banjir khususnya di Lembah Klang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, ini termasuk agensi di Kuala Lumpur menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya isu banjir dapat ditangani secara holistik.
Katanya, dua isu utama berkaitan banjir adalah bagaimana hendak mengalirkan air yang biasa daripada Kuala Lumpur atau kawasan tinggi supaya terus ke laut selain banjir setempat.
“Disebabkan perubahan cuaca, banjir tidak menentu walaupun (kekerapan) berlaku pada November hingga Disember namun pada bulan-bulan kita perlu bersedia.
“Pada mesyuarat baru-baru ini, kita telah memperluaskan skop SeJAM sama ada isu banjir, kemarau dan pencemaran. Sekarang ini banyak agensi terlibat dan tidak selaras walaupun sistem saliran ini berkaitan satu sama lain,” katanya ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau memberitahu, dua kaedah telah dibincangkan bahawa air yang banyak disalirkan terus ke laut atau kolam besar selain meningkatkan penyelenggaran dengan memastikan saliran mesra alam mengikut spesifikasi JPS.
“Satu lagi yang terbesar kita buat baru-baru ini adalah mengenalpasti kolam-kolam di Selangor yang akan dibuat rangkaian agar air dapat disalirkan ke sungai dan kolam.
“Ini supaya apabila banjir (sungai dan kolam) akan menjadi tempat pemampan dan pada musim kemarau boleh digunakan untuk bekalan air. Kita telah luluskan bagi fasa pertama melibatkan 21 kolam daripada lebih 80 kolam di negeri ini pada Mei lalu,” ujarnya.-KOSMO!ONLINE