SIK – Penduduk di kawasan perkampungan berdekatan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi di sini semakin sukar untuk melelapkan mata setiap kali hujan lebat kerana bimbang berlakunya kejadian kepala air yang boleh menjejaskan rumah mereka.
Kebimbangan itu susulan pendedahan Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee kelmarin mengenai ancaman kepala air dan banjir berlumpur di 13 kampung di daerah ini sekiranya aktiviti pembalakan dan ladang hutan di kawasan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda terus dilakukan secara tidak terkawal.
Seorang penduduk dari Kampung Charuk Puyuh, Sharifah Othman, 61, berkata, kampung mereka kini kerap dilanda banjir kilat sejak lebih setahun lalu.
“Penghujung bulan lalu, rumah saya dilanda banjir lumpur akibat limpahan Sungai Chepir.
“Habis semua barang di dalam rumah musnah selepas ditenggelami air,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Katanya, ini merupakan kejadian banjir kilat kali kedua yang berlaku di kampung itu pada tahun ini.
“Kejadian banjir kilat kerap berlaku kebelakangan ini dan apa yang menakutkan apabila banjir baru-baru ini berlaku pada pukul 4 pagi iaitu ketika penduduk masih tidur,” katanya.
Menurutnya, dia enggan menuduh mana-mana pihak sebagai punca kejadian tersebut.
“Aktiviti pembalakan di kawasan hutan berhampiran kampung ini sudah lama dijalankan dan seingat saya ia berlaku sejak usia saya belasan tahun.
“Saya juga difahamkan ada projek musang king di situ, namun saya tidak tahu sama ada ia ada kaitan dengan kejadian banjir di kampung ini,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Ibrahim Shaari, 43, berkata, rata-rata penduduk terutama yang tinggal di tepi sungai bimbang setiap kali berlaku hujan lebat.
“Kami risau kawasan kampung dilanda arus deras seperti kepala air di Kampung Iboi.
“Bila hujan lebat, kami tidak boleh tidur lena. Ada yang sentiasa berulang-alik ke sungai dengan membawa lampu suluh untuk pantau paras air,” ujarnya.
Susulan itu, dia meminta pihak berkaitan melihat semula semua kawasan berisiko dan mengkaji faktor kepada bencana.
“Saya juga berharap sungai yang semakin cetek ini didalamkan bagi mengelak air melimpah setiap kali hujan lebat.
“Kawasan kampung di sini juga perlu dipasang lampu jalan kerana semasa kejadian banjir baru-baru ini, penduduk panik apabila terpaksa menyelamatkan diri dalam gelap,” katanya.
Bagi penduduk Kampung Landai, Noraina Abidin, 51, pula, sebahagian dapur rumahnya telah roboh akibat tebing Sungai Landai runtuh disebabkan kejadian kepala air pada tahun lalu.
“Pada hujung bulan lalu berlaku sekali lagi kepala air menyebabkan tebing sungai yang telah dibaik pulih Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) runtuh semula,” katanya.
Katanya, dia sentiasa bimbang setiap kali hujan lebat kerana rumahnya terletak berhampiran sungai dan tidak jauh dari kawasan pembalakan di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda.
“Saya lihat banyak juga batu-batu besar baharu yang dipercayai dihanyutkan kepala air dari kawasan hulu ke sini,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan kira-kira 7,000 penduduk dari 13 kampung di daerah ini berdepan ancaman kepala air dan banjir kilat jika aktiviti pembalakan dan projek ladang hutan di situ dilakukan secara tidak terkawal.














