fbpx
YONG QI menunjukkan pingat emas dimenanginya dalam acara 200m kuak kupu-kupu pada temasya AUG 2022 di Kampus Ban Yang Noi hari ini

Giliran Yong Qi ‘gegar’ kolam renang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BON RATCHATHANI – Perenang negara, Ong Yong Qi menyelamatkan maruah skuad renang negara apabila menghadiahkan pingat emas tunggal pada saingan hari kedua acara renang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Thailand.

Atlet berusia 20 tahun itu mengungguli acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu dengan catatan masa dua minit 18.45 saat (s) pada aksi final yang berlangsung di Kampus Ban Yang Noi hari ini.

Penuntut dari Universiti Sunway itu berjaya menewaskan perenang Indonesia, Adinda Kirana yang memenangi pingat perak dan atlet Thailand, Subhaamorn Panthira di tempat ketiga.

Ia merupakan emas kedua buat kem negara pada saingan AUG 2022 selepas Low Zheng Yong memenangi acara 400m gaya bebas lelaki semalam.

“Saya sangat gembira kerana dapat sumbangkan emas buat kontinjen negara hari ini. Walaupun masa dalam aksi final tidak begitu baik tetapi ia sudah cukup untuk saya meraih tempat pertama.

“Aksi di AUG ini adalah sebahagian persiapan saya untuk mewakili negara pada Sukan SEA Kemboja tahun depan,” kata atlet kelahiran Johor itu.

Kejayaan itu sememangnya mengubati duka kem renang apabila menyaksikan enam lagi wakil negara gagal bergelar juara di pentas final hari ini.

Zheng Yong yang muncul juara semalam, terpaksa akur menamatkan aksi final 200m kuak kupu-kupu pada kedudukan ketiga, di belakang Wongcharoen Navaphat (Thailand) dan Joe Kurniawan (Indonesia).

Welson Sim dan Terence Ng juga mengalami nasib sama apabila terpaksa akur dengan kehebatan Kurniawan untuk meraih pingat perak serta gangsa bagi acara 200m gaya bebas lelaki.

Baki dua lagi pingat perak dimenangi oleh kontinjen negara hari ini diperoleh menerusi kejayaan kuartet 4x100m gaya bebas berganti-ganti lelaki serta wanita. – KOSMO! ONLINE

POPULAR