fbpx

7,000 penduduk Sik diancam kepala air, banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandangan dari udara kawasan kampung yang berada di bawah Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi di Sik.

SIK – Kira-kira 7,000 penduduk dari 13 kampung di daerah ini berdepan ancaman kepala air dan banjir berlumpur jika aktiviti pembalakan dan ladang hutan di kawasan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda terus dilakukan secara tidak terkawal.

Kawasan kampung yang dibimbangi terjejas di kawasan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi ialah Kampung Lubuk Tualang, Kampung Belimbing, Kampung Charuk Puyuh, Kampung Jerai, Kampung Kemelong, Kampung Charuk Padang dan Pekan Sik.

Di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda pula, kampung terlibat ialah Kampung Landai, Kampung Gulau, Kampung Pinang, Kampung Lentang, Kampung Belantik dan Sekolah Ampang Muda

Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, dia bimbang kejadian menimpa penduduk di Kupang, Baling pada awal bulan ini berlaku kepada penduduk di situ.

Katanya, lebih membimbangkan apabila terdapat projek pertanian di Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi yang didakwa turut mempunyai kolam takungan air.

“Kita risau kolam takungan ini pecah seterusnya mengakibatkan limpahan air yang besar sehingga memusnahkan kawasan perumahan dan mengorbankan nyawa.

“Kolam ini seperti bom jangka, ia boleh pecah pada bila-bila masa pada musim hujan,” kata­nya di sini semalam.

Kata beliau, jika kolam taku­ngan itu pecah, impaknya sa­ngat besar dan kejadian menimpa Kampung Iboi dikhuatiri boleh berlaku di Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda.

“Sebelum ia berlaku, kita harap kerajaan dapat bertindak segera,” ujarnya.

Menurutnya, di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda pula, terdapat akti­viti pembalakan dan kuari pasir di situ.

“Pernah berlaku kepala air di kawasan kampung di situ sehingga menyebabkan sebahagian dapur sebuah rumah roboh akibat tebing runtuh disebabkan arus deras selain wujud aliran sungai baharu,” jelasnya.

Tambahnya, agensi berkaitan perlu mengkaji semula tahap keselamatan kolam takungan selain menyiasat sama ada ia dise­lenggara dengan baik.

“Jika berbahaya dan beri­siko pecah, tindakan membuang air kolam takuangan itu perlu dilakukan oleh pihak berwajib,” kataya.

Sementara itu kata beliau, pi­haknya sememangnya tidak bersetuju dengan projek pertanian yang dilakukan di kawasan hutan simpan.

“Jika pembalakan dilakukan secara selektif, ia tidak akan memberi kesan kemusnahan te­ruk berbanding pembalakan secara cuci mangkuk bagi projek ladang hutan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI