fbpx

Isteri menyorok, rakan arwah suami minta hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Isteri terpaksa menyorok apabila rakan-rakan arwah suami sering datang ke rumah menuntut hutang yang mencecah hingga ribuan ringgit.

Itu kisah benar diceritakan oleh peguam syarie, Fahmi Ramli berhubung keadaan balu apabila arwah suami mereka suka berhutang sekali gus menyebabkan hidup merana.

“Pernah tidak anda dengar seorang isteri kematian suaminya, terpaksa menyorok daripada rakan-rakan arwah suami yang sering datang ke rumah? Bukannya kawan-kawan arwah datang mengorat, tapi datang sebab hendak tuntut hutang.

“Si isteri tersebut sedar arwah suaminya memang orang suka berhutang. Terlalu banyak hutang dengan ramai orang, tapi dia tidak sangka, ingatkan hutang itu jumlahnya kecil-kecil sahaja.

“Rupanya, setiap satu orang yang datang ke rumah, hutang dituntut itu jumlahnya ribuan ringgit,” katanya pada hantaran Facebook.

Beliau menjelaskan, mengikut hukum syarak, sebelum harta seseorang itu hendak dibahagikan secara pembahagian pusaka, ia mesti telah diselesaikan dengan pembayaran segala hutang piutang si mati.

“Hutang tidak boleh dibuat main-main kerana ia melibatkan kepada pengambilan hak orang lain atas pinjaman. Jika tidak dipulangkan atau tidak dibayar, seumpama kita mengambil hak yang bukan milik kita.

“Adakah hutang pun perlu faraid? Hanya harta sahaja akan dibahagi secara faraid jika si mati meninggalkan harta dan ahli waris. Bahagian faraid adalah sebagaimana bahagian yang telah ditetapkan syarak.

“Namun, jika tiada harta ditinggalkan, waris tidak diwajibkan membayar hutang si mati atau tidak perlu pun hendak bahagi hutang ikut faraid. Tidak ada perkara tersebut mengikut syarak,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI