SUDAH hampir lapan tahun sejak perceraian itu berlaku, namun bagi Siti Hajar (bukan nama sebenar), kenangan tersebut masih segar seolah-olah baru semalam berlaku.
Bekas suaminya ketika itu tampak seperti lelaki yang sempurna, yakin, bijak berbicara dan sentiasa kelihatan seperti orang ‘berada’.
Sesiapa sahaja pasti terpesona dengan cara suaminya membawa diri terutama bagi para gadis dan wanita ‘buta’ sepertinya.
“Usai tiga tahun kami bersama, apa yang dilihat rupa-rupanya jauh berbeza daripada realiti sebenar.
“Saya mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila suami kerap menerima panggilan telefon mencurigakan, terutama pada waktu malam.
“Pada awalnya, saya cuba bersangka baik. Tetapi lama-kelamaan, kebenaran mula terungkap sedikit demi sedikit,” ujarnya ketika memulakan bicara bersama K-Wanita.
Menurut Siti Hajar, suaminya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan layak digelar ‘biawak hidup’ itu sebenarnya sering meminjam wang daripada orang, termasuk rakan sekerja serta kenalan lama.
Lebih menguatkan amarah eksekutif kanan perbankan di ibu kota itu, suaminya tidak pernah mempunyai kemampuan kewangan seperti yang dicanang kepada orang lain.
Ujarnya, segala cerita tentang perniagaan yang dijalankan oleh suaminya hanyalah omong kosong.
“Dia pandai berkata-kata. Sampai orang percaya dia betul-betul berjaya. Maklumlah, dulu dia pernah berniaga sendiri sebelum ini, tetapi gagal.
“Paling memeritkan, saya sendiri turut terheret dalam masalah yang ditimbulkan oleh suami kerana sering menggunakan nama saya sebagai penjamin.
“Jadi, pintu rumah kami selalu diketuk oleh individu yang tidak dikenali untuk menuntut bayaran hutang.
“Ini membuatkan saya berasa takut serta malu dengan jiran-jiran,” tuturnya dalam nada kesal.
Bagaimanapun, suaminya berasa seolah-olah tidak pernah bersalah dan sedar dengan keburukan yang telah dilakukan dalam keluarga kecil mereka.
“Dia masih mampu ketawa, keluar bersama rakan-rakan dan terus ‘berbohong’ mengenai rancangan besar yang entah bila akan menjadi kenyataan.
“Kadang-kadang saya tertanya-tanya, dia sedar atau tidak apa yang dilakukannya itu memberi keburukan kepada keluarga kami.
“Selama hampir lima tahun bersama dan dikurniakan dua cahaya mata, saya yang banyak tanggung serta ‘bela’ dia (suami).
“Cerita bahagia dan gembira dalam rumah tangga kami jangan cakaplah, hanya boleh dikira dengan jari. Selebihnya, saya terpaksa tanggung derita,” luahnya.
Menurut anak jati Tambun, Perak itu, lebih menyakitkan hati, suaminya masih gemar berbelanja mewah untuk kelihatan hebat di depan kawan-kawannya.
“Telefon pintar baharu, pakaian berjenama, malah makan di tempat mahal semuanya dilakukan kononnya demi menjaga imej.
“Sedangkan saya dan anak-anak di rumah terpaksa berjimat cermat dan ikat perut hampir setiap hari demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Hal ini kerana saya terpaksa bayar segala hutang yang dibuat oleh suami, demi keselamatan diri dan anak-anak,” katanya.
Selepas lima tahun memendam rasa, wanita berusia awal 30-an itu akhirnya mengambil keputusan untuk memfailkan cerai di Mahkamah Syariah.
Kini, selepas episod hitam itu berlalu, Siti Hajar mengakui hidupnya jauh lebih tenang, meskipun berstatus ibu tunggal.
“Biarpun anak-anaknya hidup dan membesar tanpa kasih sayang seorang ‘bapa’, namun sekurang-kurangnya dia dan keluarga tidak dihantui derita angkara suaminya,” ujarnya.















