fbpx

Influenza: Tiada kes maut, klinik swasta jual stok penimbal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

CYBERJAYA- Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan belum ada sebarang kes kematian direkodkan di negara ini meskipun Malaysia sedang berdepan lonjakan ketara bilangan pesakit influenza.

Malah, Khairy turut memaklumkan bahawa mulai semalam semua farmasi di klinik swasta juga sudah mula mendapat ubat daripada stok penimbal kerajaan bagi memastikan bekalannya kekal mencukupi.

Khairy pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Rasmi Makmal Penyelidikan Klinikal Hematogenix Asia Pasific di Cyberjaya di sini tadi. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

“Untuk minggu epidemiologi ke-29 iaitu sepanjang minggu ini, kita merekodkan empat lagi kluster baharu daripada sejumlah 169 kluster dan tahun ini memang ada peningkatan ketara.

“Bagaimanapun, saya bersyukur tiada kes maut dan setakat ini situasi penyakit itu boleh dianggap seperti selesema bermusim dan ia masih lagi terkawal,” katanya selepas merasmikan pembukaan Hematogenix, iaitu makmal onkologi berpusat ternama pertama rantau Asia Pasifik dan turut disaksikan oleh Presidennya, Dr. Hytham Al-Masri.

Pada masa sama, Khairy turut memberi jaminan bahawa orang ramai tidak perlu panik kerana lonjakan kes itu disebabkan trend pendedahan umum selepas pembukaan semula sekolah.

“Kita kesan ramai kena influenza sebab imuniti rendah setelah dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kumulatif kluster sekolah sahaja 213 dan kluster tadika pula ada 16.

“Jadi ibu bapa, pengasuh tadika dan guru sekolah kena sentiasa mengingatkan murid untuk lebih menjaga kebersihan kendiri selain sering memakai pelitup muka,” jelasnya.

Khairy juga meminta masyarakat agar tidak terkejut jika mendapati farmasi di klinik swasta menjual ubat tertentu yang mempunyai label Kementerian Kesihatan kerana ia sah.

“Bekalan tersebut dibekalkan menerusi stok penimbal kerajaan terutama jenis paracetamol dan sirap batuk yang ada permintaan amat tinggi hingga kehabisan di kebanyakan fasiliti swasta,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI