fbpx

Kusyen rehat pergelangan tangan pilihan terbaik juri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamilah (dua dari kiri) menerima hadiah yang dimenanginya pada Majlis Malaysia Good Design Award di Putrajaya kelmarin.

PUTRAJAYA – Kreativiti dipamerkan produk JM Jarum Emas dalam mempamerkan hasil keluaran mereka membuahkan hasil apabila kusyen rehat pergelangan tangan berjaya memenangi kategori pembungkusan sempena  Malaysia Good Design Award (MGDA) 2021 kelmarin.

Produk dihasilkan Jamilah Yahya itu bukan sahaja menepati kriteria barisan juri menerusi pembungkusan yang ringkas, malah turut dilengkapi dengan maklumat berkaitan produk sekali gus berupaya memaksimumkan potensi jualan.

Menurut wanita dari Johor itu, dia berasa sangat bangga dan teruja apabila dipilih sebagai pemenang dalam kategori pembungkusan sempena MGDA 2021 memandangkan belum pernah menerima pengiktirafan sedemikian.

“Saya mula terlibat dalam industri kraftangan sejak tahun 2017 dengan memberi fokus kepada penghasilan produk berasaskan mainan kanak-kanak memandangkan belum ada usahawan menghasilkan hiasan barangan seperti itu.

“Hasil kerja saya membuahkan hasil apabila produk kusyen rehat pergelangan tangan dihasilkan secara handmade berjaya diangkat sebagai pemenang kategori pembungkusan,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Jamilah memberitahu, setakat ini dia berjaya menjahit kira-kira 1,000 kusyen tangan itu untuk dijual di pasaran dengan harga antara RM35 hingga RM45 seunit.

“Memandangkan ia jahitan tangan, jadi kami hanya mampu menghasilkan sekitar 50 unit sahaja seminggu dengan bantuan seramai 30 orang pekerja.

“Saya ada perancangan baharu untuk meluaskan perniagaan ini memandangkan sudah ada tawaran daripada sebuah pasar raya yang mahukannya dalam kuantiti banyak.

“Sehubungan itu, kami akan fikirkan cara meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Selain pembungkusan, MGDA 2021 turut menyaksikan pengiktirafan dalam beberapa kategori lain termasuk barangan kemas, fesyen dan aksesori selain kategori aktiviti masa lapang, hobi serta sukan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI