fbpx

Hartasuma sedia lengkap 27 tren LRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KA SIONG (kanan) meninjau operasi pemasangan tren LRT di Ibu Pejabat Hartasuma di Pulau Indah, Pelabuhan Klang semalam.

KLANG – Syarikat kenderaan dan perkhidmatan rel bersepadu, Hartasuma Sdn. Bhd. bersedia melengkapkan pembekalan 27 tren Transit Aliran Ringan (LRT) baharu bagi laluan Kelana Jaya.

Ia melibatkan sebanyak 108 gerabak menerusi peruntukan Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur atau ‘Kuala Lumpur Additional Vehicle’ (KLAV) 27 yang bernilai RM1.72 bilion.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pembekalan itu sedang dilaksanakan menerusi konsortium antara Hartasuma dengan Alstom S.A., pe­neraju global dalam pembuatan kenderaan rel.

Menurut beliau, lapan daripada 27 tren LRT tersebut dijangka dibekalkan syarikat tempatan berkenaan bermula Julai tahun depan.

“Kini, ia dalam proses akhir pelaksanaan ujian sebelum ditambah untuk kegunaan laluan Kelana Jaya kelak.

“Tren kesembilan dan berikutnya akan dibekalkan secara berperingkat sehingga Disember 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi pemasangan tren LRT di Ibu Pejabat Hartasuma di Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini semalam.

Ka Siong menerangkan, ke­semua tren itu melibatkan hampir 45 peratus hasil pemasangan tempatan berbanding luar negara.

“Kita sebelum ini banyak menggunakan khidmat luar untuk pemasangan tren LRT kerana kurang kepakaran.

“Namun, keadaan sekarang berbeza dan kerajaan amat berbangga kerana Malaysia mampu melakukannya sendiri tanpa bergantung kepada orang luar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon menerangkan, Hartasuma sedang dalam proses memasang komponen bawah gerabak atau ‘bogie’ untuk gerabak LRT berkenaan.

“Kita turut bekerjasama de­ngan Pusat Kecemerlangan Ken­deraan Rel Nasional (NRCOE) untuk menjadi vendor Tahap 1 yang layak bagi pemasangan dan baik pulih bogie tempatan di bawah Program Pembangunan Industri Kenderaan Rel (RIDP).

“Inisiatif itu meningkatkan keupayaan daripada aspek teknikal dan membantu mengurangkan aliran keluar modal,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI