fbpx

43 kaki ‘lalok’ dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN (kiri) bersama Superintendan Bahrin Mohd. Noh melihat barang pameran di Program Dialog Ketua Polis Johor bersama Warga Felda Pemanis di Felda Pemanis, Segamat hari ini.

SEGAMAT – Seramai 43 kaki lalok diberkas selepas disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah dalam Op Tapis yang dijalankan di sekitar kawasan Felda Pemanis di sini semalam sehingga awal pagi hari ini.

Dalam serbuan yang dijalankan bermula pada pukul 8 malam semalam itu, mereka yang diberkas terdiri daripada lelaki berusia 21 hingga 59 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi khas itu seramai 60 individu pelbagai latar belakang diperiksa.

“Hasil pemeriksaan, ujian saringan awal air kencing serta semakan rekod lampau, pihak kita berjaya mengesan 43 lelaki membabitkan tiga kesalahan memiliki dan 40 kesalahan menggunakan dadah.

“Daripada 60 individu yang diperiksa itu, seramai 17 dibebas kerana hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah.

“Seramai empat suspek yang ditangkap berpotensi untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu penagih berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Program Dialog Ketua Polis Johor bersama Warga Felda Pemanis, Segamat pagi ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan itu juga polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat 1.50 gram (g), heroin 0.60g serta dua biji pil yaba bernilai RM191.

Tambah Kamarul, bermula 1 Januari sehingga 20 Julai lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya membuat tangkapan seramai 7,925 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan rampasan sebanyak 2.27 tan dadah bernilai RM10.32 juta.

Turut di sita adalah harta bernilai RM5.23 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI