fbpx

Wang RM1 juta diagih dalam kalangan Exco Armada – Pegawai penyiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Armada diagihkan dalam kalangan Exconya sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menggeledah rumah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Penguasa Kanan SPRM, Mohd. Syahmeizy Sulong, 37, berkata, wang itu diagihkan pada 1 April 2020 manakala rumah Ahli Parlimen Muar itu digeledah pada 31 Mac 2020 berhubung siasatan kehilangan wang RM250,000 dari kediaman beliau.

Menurut beliau, sebanyak RM650,000 diberikan kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, Muhammad Daniel Kusari manakala RM250,000 diserahkan kepada ahli Bersatu, Muhammad Naqib Ab. Rahim.

Mahkamah mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas tuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Pegawai penyiasat kes penyelewengan dana Armada Pusat itu berkata, siasatan mendapati wang RM1 juta yang dikeluarkan pada 6 Mac 2020 terlebih dahulu disimpan di rumah Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada Bersatu.

Menurut saksi pendakwaan ke-25 itu, pada 31 Mac, Syed Saddiq menghubungi Rafiq dan mengarahkan beliau membawa keluar wang itu dari rumahnya kerana risau akan dijumpai dan disita oleh SPRM.

Mohd. Syahmeizy berkata, siasatan mendapati Syed Saddiq pada awalnya mengarahkan dua pemegang amanah Armada iaitu Rafiq dan Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi mengeluarkan wang tersebut daripada akaun di CIMB KL Sentral.

Menurut saksi, cek pengeluaran ditandatangani oleh Rafiq dan Ahmad Redzuan kerana Syed Saddiq tidak mempunyai masa ke bank selain tandatangannya sering berubah ketika menandatangani cek.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Mohamed Tahir, beliau berkata, Syed Saddiq mengeluarkan arahan itu kerana merasakan kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH) tidak kukuh.

Ujarnya, Ahmad Redzuan mencadangkan wang itu diagihkan kepada Muhammad Daniel kerana beliau mempunyai peti besi di rumah selain turut disimpan Muhammad Naqib yang merupakan ahli perniagaan.

Menurutnya, pada 5 Mac 2020, SPRM menggeledah rumah Muhammad Daniel dan menemui wang RM425,537 manakala bakinya diagih kepada ketua-ketua bahagian dan ahli-ahli Armada seluruh negara.

Saksi berkata, idea pengeluaran wang itu dibangkitkan selepas insiden `Langkah Sheraton’ pada 23 Februari 2020 ketika Syed Saddiq dan beberapa pemimpin Armada mengadakan pertemuan di kediaman beliau di Petaling Jaya bagi membincangkan dana dalam akaun tersebut.

Ujar Mohd. Syahmeizy, Syed Saddiq amat risau terhadap pergolakan selepas `Langkah Sheraton’ dan meminta kepastian baki wang dalam akaun Armada Pusat yang merupakan hasil titik peluhnya sepanjang berjawatan Ketua Armada.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi menafikan wujud konspirasi untuk mengenakan Syed Saddiq seperti didakwa oleh pihak pembelaan.

Saksi turut ditanya mengapa Syed Saddiq dituduh kali pertama pada 22 Julai 2021 sedangkan izin untuk mendakwa dikeluarkan pada 4 Januari tahun sama.

Untuk siasatan terhadap YB Syed Saddiq, pihak SPRM telah membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat.

“Oleh itu, pertuduhan terhadapnya dibuat terlalu lama kerana saya memerlukan keterangan saksi yang ‘synchronize’ dengan kertas siasatan lain kerana ketika itu ada kertas siasatan yang belum siap ke atas YB Syed Saddiq,” kata saksi.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI