PENYELIDIK dari China kini membangunkan robot ikan yang boleh menelan mikroplastik yang terdapat dalam laut.
Robot itu dikatakan dapat membantu masalah pembuangan sisa plastik yang selama ini menjadi masalah di lautan seluruh dunia.
Robot ikan yang direka dengan tekstur lembut berukuran sekitar 1.3 sentimeter dan telah diuji untuk menelan mikroplastik di perairan cetek.
Justeru, para penyelidik yang membangunkan robot tersebut berazam menghasilkan robot yang mampu mengumpul plastik di perairan lebih dalam selepas ini.
Salah seorang penyelidik yang membangunkan robot itu, Wang Yuyan berharap, ia dapat menganalisis dan memberikan maklumat tentang populasi di laut secara masa nyata.
Menurutnya, robot tersebut juga mungkin boleh digunakan untuk tujuan lain seperti operasi biomedis.
“Kami membangunkan robot mini yang begitu ringan. Ini boleh digunakan dalam banyak cara.
“Misalnya, dalam operasi biomedis atau operasi berbahaya lain, robot kecil ini boleh digunakan ke bahagian tubuh anda untuk membantu menghilangkan beberapa penyakit,” katanya.
Selain itu, robot ikan berwarna hitam itu disertakan dengan sumber lampu untuk membantu penyelidik dalam mengendalikannya agar tidak melanggar ikan atau objek lain.
Yuyan menyebut, robot ikan itu juga mempunyai beberapa kelebihan.
Salah satu daripadanya, jika tidak sengaja dimakan oleh ikan lain, robot itu boleh dicerna tanpa membayakan kerana ia diperbuat daripada poliuretan dan juga biokompatibel.
Selain itu, robot ikan itu juga mampu memulihkan ‘diri’ sendiri walaupun rosak.
“Robot ini boleh berenang dengan kelajuan 275 panjang tubuhnya per detik dan ia lebih cepat daripada kebanyakan robot lain,” ujarnya.














