fbpx
PARA peserta yang terlibat dalam program PPKK Kraf Catur Kayu di Segamat baru-baru ini.

Estetika set kraf catur kayu bernilai tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA yang tidak kenal dengan permainan catur yang popular dimainkan oleh seluruh masyarakat dunia? Pasti semua mengenalinya.

Berdasarkan sejarah, catur juga adalah satu permainan rakyat yang telah wujud selama ratusan tahun di negeri Johor. Ia merupakan kesinambungan permainan catur yang sebelum ini turut dimainkan semasa era kesultanan Melaka.

Catatan rekod manuskrip Melayu menunjukkan bahawa permainan catur ini merupakan satu tradisi turun-temurun bangsawan dan masyarakat Melayu.

Walaupun mempunyai pengaruh daripada permainan catur yang dibawa dari Parsi, India, China dan Eropah, ia tetap mempunyai identitinya yang tersendiri cerminan kepada masyarakat yang mewarisi permainan ini.

Catur Johor dikatakan berlangsung dari tahun 1528 hingga 1957 dengan permainannya dibahagikan kepada dua jenis permainan iaitu Catur Harimau dan Catur Perang. Kesemuanya tetap menggunakan peralatan catur yang sama.

Kini, tatkala masyarakat kita memonopoli alam siber dan hanyut dibuai peradaban moden, media sosial dan teknologi, masih wujud golongan peminat seni ukiran tangan yang menumpahkan cinta mereka kepada kraf catur kayu.

Contoh satu set catur kayu yang telah disiapkan.

Salah seorang pembuat kraf catur kayu di Johor, Roziman Jamil, 40, berkata, dia meminati seni ukiran kayu sejak usia muda dan mula menceburkan diri dalam seni kraf catur kayu sejak dua tahun lalu.

“Mula-mula, ia sekadar hobi bagi mengisi masa lapang.

“Lama-kelamaan saya lihat seni ukiran catur kayu ini ada potensi untuk dipasarkan menjadi sumber pendapatan,” kata Roziman ketika ditemui pada majlis penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf

Catur Kayu Segamat (Fasa 1) di Palong Timur 3, Segamat baru-baru ini.

Program anjuran Kraftangan Malaysia itu telah berlangsung selama tiga hari dengan memberikan pendedahan mengenai kraf catur kayu kepada 15 peserta daripada komuniti kraf Segamat.

Kraf catur kayu melibatkan penggunaan beberapa jenis kayu antaranya kayu cengal, merbau, nangka, penawar hitam, kayu malam dan arang bunga.

Kesemuanya menampilkan rupa catur kayu yang berbeza misalnya merbau berwarna coklat kemerahan, manakala kayu nangka pula kekuningan.

Mempunyai pengalaman dalam pembuatan dan penjualan kraf catur kayu, Roziman berkata, satu set catur mengambil masa empat hari untuk disiapkan.

Satu set catur adalah merangkumi 32 buah catur dan papan catur.

ROZIMAN menunjukkan antara kayu-kayu yang digunakan untuk pembuatan kraf catur kayu.

Kongsinya, ukiran bagi buah kuda adalah yang paling sukar dibentuk.

“Ukiran kuda paling memakan masa untuk disiapkan. Lebih kurang dua jam hanya untuk buat satu unit kuda.

“Ini kerana, kuda diukir di atas kayu secara manual dengan menggunakan tangan sedangkan ukiran bagi buah catur lain masih boleh dibuat menggunakan mesin,” katanya.

Menurut lelaki berasal dari Batu Pahat itu, dia juga menerima tempahan papan catur yang diukir di atas meja kayu menjadi set khas bagi permainan tradisi tersebut.

Sementara itu, Zulkarin Esa, 54, yang turut memiliki ilmu pertukangan kraf tersebut berkata, harga bagi set catur ukiran kayu bergantung kepada jenis kayu yang digunakan mengikut harga pasaran semasa.

“Bagi kayu jenis cengal dan merbau, harga bahan mentahnya sebelum dijadikan kraf adalah sekitar RM20 bagi satu kaki (30.5 sentimeter). Harganya agak murah kerana kayu jenis ini senang dan mudah didapati.

“Sementara itu, kayu arang bunga, penawar hitam dan kayu malam harganya sedikit mahal kerana susah didapati.

“Selain warna alur kayunya yang cantik, kayu-kayu jenis ini juga mempunyai alur kayu tersendiri yang tidak sama dengan kayu yang lain.

“Kayu-kayu ini bahkan kebiasaannya digunakan untuk ukiran pada sarung parang atau pisau,” terang Zulkarin yang berasal dari Felda Tenang, Labis.

Zulkarin (tiga dari kiri) memerhati para peserta mengukir catur kayu pada Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Catur Kayu yang dilangsungkan di Kolej Komuniti Segamat 2.

Justeru, jelasnya, papan dan buah catur yang diperbuat daripada kayu jenis cengal dan merbau akan dijual dalam lingkungan harga RM1,200 satu set dan set catur kayu tersebut yang diukir siap bersama meja pula dijual dengan harga bermula RM6,000.

“Satu set catur ukiran kayu jenis arang bunga, penawar hitam dan kayu malam bersama papan boleh mencecah harga RM1,800,” ujarnya sekali gus menunjukkan kraf tersebut begitu bernilai tinggi.

Mengenai program PPKK, menerusinya, para peserta bukan sahaja dilatih dari aspek kemahiran dalam pengeluaran produk, tetapi juga aspek keusahawanan dan pemasaran bagi memastikan para peserta mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam perusahaan kraf.

Penyertaan dalam program ini juga mampu meningkatkan kebolehpasaran golongan sasar untuk mendapatkan pekerjaan atau menjadikan perusahaan kraf sebagai kerjaya sepenuh masa atau sampingan.

Sehingga April lalu, PPKK telah menjalankan sebanyak 104 projek dengan penglibatan seramai 2,676 peserta di seluruh negara.

Pelbagai kemahiran kraf telah diketengahkan kepada para peserta antaranya kraf set catur kayu, anyaman rotan, batik blok, anyaman mengkuang, cetakan batik, jahitan dan lain-lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN