fbpx
Titah Perutusan Khas oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditayang pada skrin semasa Sambutan Ma`al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M tahun lalu. - Gambar hiasan

Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan 29 Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Program sambutan rasmi Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2022/1444 akan berlangsung pada sebelah malam 29 Julai depan dan bukan keesokan paginya iaitu pada 30 Julai.

Menurut sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tradisi yang sudah dilaksanakan beberapa tahun lalu itu mengambil kira tarikh takwim Islam bermula sejurusnya azan Maghrib.

“Sambutan ini pada lewat petang 29 Julai kerana tarikh baharu kalendar Hijrah mula lepas azan Maghrib, bukannya ikut kalendar Masihi pukul 12 tengah malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular poster diterbitkan oleh Sekretariat Sambutan Bulan Kemerdekaan mengenai pelancaran Bulan Kebangsaan 2022 di Dataran Putra di sini pada pukul 8 pagi, 30 Julai kelak.

Program yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut melibatkan pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang dengan dijangka berakhir kira-kira pukul 10 pagi.

Paparan poster itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial sama ada program peringkat nasional ini akan bertembung dengan sambutan Maal Hijrah pada tarikh yang sama.

Mengulas lanjut, sumber Jakim memaklumkan bahawa lokasi sambutan Maal Hijrah belum lagi dimuktamadkan namun pengisiannya akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM.

“Kelazimannya akan ada program forum yang dibarisi panel tertentu bermula pukul 6 petang sebelum diikuti bacaan doa akhir tahun, azan Maghrib dan doa awal tahun,” jelas beliau lagi.

Penganugerahan Tokoh Maal Hijrah ujarnya, kemungkinan disampaikan awal sebelum waktu Maghrib tetapi setakat ini belum dipastikan siapakah yang akan menyampaikan anugerah tersebut. – KOSMO! ONLINE

POPULAR