fbpx

Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka kembali beroperasi 12 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Jailani

MELAKA – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam akan kembali beroperasi bermula 12 Ogos depan menerusi penerbangan Batik Air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, Batik Air dijangka melakukan perjalanan sebanyak tiga kali seminggu bermula dari Subang ke Pulau Pinang, Melaka dan Pekanbaru.

“LTAM akan mula beroperasi pada 12 Ogos ini menerusi pesawat Batik Air ATR-72 dari Pekanbaru, Indonesia ke LTAM.

“Dengan pengaktifan semula penerbangan Batik Air ke Pekanbaru dan Pulau Pinang ini, industri pelancongan di negeri ini akan kembali rancak selepas terkesan selama dua tahun akibat penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Tourism Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain Batik Air, terdapat dua buah syarikat lain yang turut menyatakan minat menggunakan LTAM bagi tujuan komersial.

“Syarikat Straits Connect (M) Sdn. Bhd. berhasrat menyediakan penerbangan sewa khas dari LTAM ke Jakarta, Indonesia dan jadual penerbangannya dijangka bermula pada pertengahan Ogos ini.

“Manakala syarikat World Asia Logistics (M) Sdn. Bhd. pula ingin menjadikan LTAM sebagai hab kargo utama di Malaysia dan perkara tersebut masih di peringkat perbincangan bersama Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB),” katanya.

Katanya, harga tiket penerbangan bagi perjalanan sehala Melaka-Pekanbaru bermula daripada RM299, manakala Melaka–Pulau Pinang RM199. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI