fbpx

Buat saringan Covid-19 sebelum kembali bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai yang baru pulang daripada bercuti sempena Aidiladha digalakkan untuk membuat ujian saringan kendiri. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Golongan pekerja disarankan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum kembali beker­ja dalam usaha mengurangkan risiko peningkatan kes selepas pulang beraya di kampung.

Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu juga masih terpakai sehingga kini sekali gus disyorkan terutama kepada individu terdedah de­ngan risiko Covid-19.

“Sebagai contoh dalam program pelaksanaan korban, ada yang tidak memakai pelitup muka selain interaksi sosial de­ngan orang ramai. Jadi memang elok ujian saringan Covid-19 ini untuk memastikan mereka benar-benar sihat sebelum bekerja.

“Jika bergejala, dapatkan ra­watan segera dan pastikan juga kita mendapatkan dos penggalak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Dr. Malina berkata, pemerhatian beliau mendapati boleh dikatakan majoriti orang ramai kini tidak memakai pelitup muka terutama di dalam kawasan tempat tertutup.

“Misalnya daripada 10 orang, dalam dua atau tiga orang sahaja memakai pelitup muka. Justeru saya nasihat supaya kekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Kita tidak pasti berapa bulan akan datang, bagaimana corak jangkitan itu. Walaupun sudah banyak kelonggaran, kita perlu menunggu setahun atau dua tahun lagi untuk pulih daripada keadaan tersebut,” jelasnya.

Tegasnya, bagi mengelakkan lonjakan kes terlalu tinggi sehingga menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara, rakyat Malaysia perlu berwaspada.

“Bukanlah KKM atau pihak terlibat kawalan Covid-19 mahu menyusahkan tetapi kita berjaga-jaga tidak mahu situa­si sama ketika varian Delta melanda negara. Kita tidak mahu jangkitan kes teruk se­hingga menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan.

“Sehubungan itu, perkara berkenaan perlu diberi perhatian dan ambil tanggungjawab patuhi SOP untuk menjaga masyarakat dan negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipetik berkata, KKM menjangkakan jumlah jangkitan baharu akan meningkat di negara ini susulan daripada varian Omicron BA.4 dan BA.5 yang pa­ling mudah me­rebak setakat ini dan lebih mudah menjangkiti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI