LATIHAN Kuasa Tembakan (LKT) 2022 bukanlah sekadar acara latihan tahunan bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), bahkan menjadi medan mempamerkan atur gerak serta keupayaan aset ketenteraan negara.
Perkara itu didedahkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurut Hishammuddin, ia selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pelan Strategik Mindef 2022 serta Kertas Putih Pertahanan.
“Latihan ini adalah bagi memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Tidak sekadar itu, LKT ini juga merupakan salah satu daripada pelbagai usaha berterusan Mindef dan ATM yang dilaksanakan khususnya sejak beberapa bulan lalu dengan matlamat memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terus dilengkapi aset-aset diperlukan.
“Sebagai contohnya ialah Helikopter MD530G. Isu mengenainya telah dapat diselesaikan dan telah diterima oleh end user yang sangat memerlukan iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD),” katanya sempena LKT 2022 di Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Turut hadir, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Terang Hishammuddin, LKT penting bagi menguji pengurusan pasukan serta keupayaan dan kompetensi anggota dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup, selain medan terbaik dalam memperagakan keupayaan anggota TDM.
“Ia termasuk dalam mengendalikan platform kenderaan dan persenjataan terkini secara profesional sebagaimana latihan yang diberikan.
“Bukan itu sahaja, LKT ini berupaya mempamerkan atur gerak dan keupayaan combat team dalam operasi ketumbukan 3 Divisyen selaku Divisyen Gabungan Penggempur.
“Ini sekali gus memberi pendedahan kepada penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT),” ujarnya.

Untuk rekod, segmen tembakan langsung LKT tahun ini iaitu segmen dinamik telah berlangsung selama kira-kira dua jam dengan pelaksanaan maneuver dan kuasa tembakan yang melibatkan aset Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, PUTD dan Pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
la melibatkan seramai 2,300 pegawai dan anggota daripada pelbagai kepakaran serta 644 jenis kenderaan tempur, kenderaan sokongan dan sistem persenjataan.
Ini termasuk PT 91M PENDEKAR, AV8 Gempita, AV 4 Lipan Bara, ACV 300 Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).

Sementara itu, aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke meriam berkaliber besar dan roket seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120MM dan 81MM serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).
Turut dilibatkan adalah helikopter daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM, Helikopter EC 725, Pesawat HAWK dan FA-18 D Hornet daripada TUDM serta Helikopter Agusta A109 LOH dan MD530G dari PUTD,
Bagi segmen tembakan tidak langsung pula, keupayaan Tactical Display dan Close Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini dipertontonkan kepada para penuntut MTAT yang melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu FA-18 D Hornet dan BAE Hawk 208.














