fbpx

Korban: Ramai sanggup belanja besar beli lembu sado

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD REZUWAN bersama lembu sado yang telah ditempah di George Town baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Penternak lembu di negeri ini tidak me­nyangka majoriti pelanggannya sanggup berbelanja besar semata-mata mahu menunaikan ibadah itu pada tahun ini dengan memilih ternakan bersaiz ‘sado’ yang mencecah harga sehingga RM20,000 seekor.

Mohammad Rezuwan Mazlan, 39, berkata, kira-kira lebih 400 ekor lembu daripada spe­sies brahman dan baka Kedah-­Kelantan (KK) Elit atau lebih dikenali dengan nama lembu KK telah ditempah pelanggannya bagi ibadah korban kali ini.

Dia berkata, majoriti pelanggannya terdiri kariah masjid dan perseorangan memilih menem­pah lembu bersaiz besar serta berat antara 230 hingga 300 kilogram (kg).

“Sekarang, ramai yang sudah tidak berkira wang ringgit. Mereka sanggup berbelanja tinggi semata-mata mahu menjalani ibadah korban dengan mendapat ganjaran pahala besar dan pada masa sama dapat berkongsi rezeki dengan golongan yang ­memerlukan.

“Mereka meminta membeli lembu yang berharga RM8,000 hingga RM20,000 seekor se­dangkan ada lembu dijual lebih rendah iaitu berharga RM4,800 seekor,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohammad Rezuwan, tempahan terhadap ternakan korban yang bersaiz besar itu dikatakan meningkat ekoran negara sudah berada dalam fasa peralihan ke endemik.

“Sambutan Aidiladha tahun ini dilihat bertambah meriah apabila ramai sanak-saudara sudah boleh berkumpul dan pulang ke kampung halaman.

“Ada pelanggan menempah lima ekor lembu pada harga mencecah lebih RM10,000 seekor untuk ibadah korban seisi keluarga,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dia kali ini memutuskan untuk membeli makanan ruminan biasa yang dijual pada harga RM45 bagi setiap 50kg berikutan tidak sanggup berdepan dengan kenaikan berterusan harga dedak sehingga RM70.

Kosmo! semalam melaporkan umat Islam di negara ini tetap mahu meraikan ibadah korban meskipun ramai terkesan de­ngan kos perbelanjaan harian yang tinggi termasuk kenaikan mendadak harga barangan ke­perluan ketika ini.

Sebahagian daripada mereka sanggup menggunakan duit penge­luaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seba­nyak RM10,000 dan wang tabung semata-mata mahu mengejar ganjaran pahala yang berlipat ganda. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI