BALING – Sambutan Aidiladha tahun ini bagaikan tidak bermakna buat seorang warga emas apabila bukan sahaja kehilangan tiga ahli keluarganya secara serentak, malah rumah yang mereka diami lenyap akibat dibadai kepala air pada 5 Julai lalu.
“Saya hilang segala-galanya, tiga ahli keluarga saya ‘pergi’ serentak. Rumah pun ranap sekelip mata dibadai kepala air,” kata Abdul Rahman Said, 71.
Abdul Rahman merupakan antara mangsa tragedi kepala air yang melanda 12 buah kampung di mukim Kupang di sini.
Kejadian pada pukul 5 petang itu mengorbankan tiga nyawa akibat dihanyutkan arus deras.
Menurut Abdul Rahman, dia sesekali tidak mempertikai dugaan tersebut kerana sebagai orang Islam, dia perlu reda.
“Kehilangan isteri, Salmah Mat Akib, 53, anak tiri, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantu, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang sedang mengandung secara serentak amat memilukan.
“Sambutan Aidiladha terasa sepi sekali tanpa kehadiran mereka,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Mengimbau kenangan sambutan Aidiladha bersama kesemua mangsa, Abdul Rahman berkata, hari raya terlalu meriah dengan keriuhan mereka.
Tambahnya, sebelum arwah isterinya diserang strok, dia akan memasak pelbagai juadah yang lazat seperti rendang ayam, daging atau laksa.
“Masakan isteri saya memang sedap. Namun, kemeriahan hari raya dan juadah yang dimasak isteri tidak dapat dirasai lagi,” katanya.
Ujar Abdul Rahman, bertambah pilu apabila rumah yang mereka duduki lenyap sekelip mata dan hanya tinggal kawasan lapang berpasir.
Sementara itu, anak tiri Abdul Rahman, Muhammad Khairul Aysraf Nor Azman, 24, berkata, dia tergamam apabila dimaklumkan mayat isterinya ditemui berpelukan dengan ibunya.
“Sehingga saat ini, saya masih membayangkan bagaimana keadaan isteri semasa hanyut. Saya percaya dia enggan berganjak dari rumah kerana mahu tunggu ibu yang sakit akibat strok.
“Sayu bila mengenangkan pengorbanannya menjaga ibu sehingga ke akhir hayatnya,” katanya.
Ujar pekerja kilang itu, sukar untuknya menerima tragedi tersebut tetapi dia reda kerana sekurang-kurangnya mayat kesemua ahli keluarganya dapat dikebumikan dengan sempurna.
“Saya bukan sahaja kehilangan isteri tetapi anak pertama berusia empat bulan yang berada dalam kandungannya,” katanya. -KOSMO! ONLINE














