KOTA BHARU – Penyusutan harga emas ke paras terendah dalam tempoh sembilan bulan menyebabkan premis menjual barangan logam berharga itu kembali diserbu pelanggan sejak Khamis lalu.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati rata-rata peniaga tidak menyangka harga pasaran emas menyusut kepada RM238 dan RM239 segram berbanding RM245 segram pada minggu lalu.
Pemilik Kedai Wanie’s Faizal Gold & Diamonds, Azni Sharif, 43, berkata, ekoran situasi itu, premisnya yang terletak di Jalan Tengku Petra Semerak di sini mula merekodkan pertambahan pelanggan sejak Khamis lalu.
Menurut Azni, pada hari berkenaan, sebanyak RM100,000 emas telah terjual, namun hasil yang diperoleh menyusut sedikit berbanding minggu sebelumnya.
“Apabila harga emas turun, memang ramai pelanggan datang untuk membeli perhiasan emas, tetapi peniaga akan mengalami sedikit kerugian kerana kami membeli emas pada harga RM246 segram sebelum ini.
“Kami perlu menjual emas mengikut harga semasa. Walaupun bilangan pelanggan yang datang ke premis bertambah setiap hari, tetapi tidak bererti peniaga untung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Azni, sebelum ini, ketika harga emas tinggi, ramai pelanggan datang ke premisnya untuk menukar barangan perhiasan mereka daripada bentuk lama kepada yang terkini.
Jelasnya, langkah itu tidak memerlukan modal yang besar sebaliknya pelanggan hanya perlu menambah sedikit wang.
“Namun apabila harga emas menyusut, pelanggan mula beralih untuk membeli bukan menukar emas lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Azni memberitahu, meskipun harga emas menyusut sewaktu Hari Raya Aidiladha, bilangan pelanggan yang mengunjungi premisnya tidak seramai sewaktu perayaan Aidilfitri pada Mei lalu meskipun harganya lebih RM260 segram.
Sementara itu, pemilik kedai Mah Kampong Kita, Farisha Najwa Rosli, 27, memberitahu, dia menjangkakan harga emas akan terus menyusut mencecah RM235 segram selepas Hari Raya Aidiladha ini.
Bagi Farisha, sebagai peniaga dia perlu menjual emas mengikut harga semasa iaitu RM238 hingga RM239 segram meskipun mengalami sedikit kerugian dalam perniagaan kerana stok yang ada di premisnya dibeli sebulan lalu pada harga RM250 segram.
“Walau bagaimanapun, apabila melihat ramai pelanggan datang di premis hari ini (semalam) saya berasa lega. Mereka (pelanggan) membeli emas dalam kuantiti besar melebihi RM1,000.
“Saya agak terkejut apabila harga emas turun di bawah RM240 segram pada Khamis lalu,” katanya ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah di sini.
Harga emas pukal dilaporkan susut ke paras terendah dalam tempoh sembilan bulan selepas pelabur dicengkam kebimbangan kemelesetan yang menyaksikan dolar Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun.
Emas untuk penghantaran Ogos dianggarkan AS$1,736 (RM7,670) seauns atau RM246 segram. Kenaikan dolar AS telah menjadikan logam tersebut lebih mahal.
Pada Jun lalu, akhbar melaporkan harga emas susut kepada AS$1,827.03 (RM8,042.59) seauns atau RM258.57 segram.














